Pages

Selasa, 26 Mei 2009

Alhamdulillah atas ni'mat ini...


Alhamdulillah, semalam sudah selesai Majlis Perasmian Liqo' Mahabbah anjuran DPM Maqaz Shoubra yang kemudiannya diteruskan dengan pengajian kilat dengan menggunakan kitab Ta'lim al-Muta'allim Toriq al-Ta'allum dan juga kitab Nailur Raja'. Pihak penganjur telah menjemput al-Fadhil Ustaz Syed Abd Qodir untuk mensyarahkan kitab ini dan alhamdulillah banyak sangat manfaat ilmu yang dapat dikutip dan diambil dari kitab tersebut terutamanya buat kita penuntut ilmu Allah dimuka bumi ini.

Dan pada 24 Mei yang lalu,Alhamdulillah,saya bersama dengan 8 orang rakan yang lain telah mengkhatamkan Matan Tuhfah al-Atfal bersama dengan Syeikh Hasan Muhammad Hasan Rajab iaitu salah seorang tenaga pengajar di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra dan juga bekas Ahli Lujnah Tashih Mushaf al-Azhar.

Matan Tuhfah al-Atfal adalah matan yang sangat masyhur bagi sesiapa yang mendalami ilmu Tajwid al-Quran,matan yang disusun oleh Imam Sulaiman al-Jamzuri ini amat ringkas dan mudah difahami oleh pembacanya,matan ini disusun sebanyak 61 bait dan membicarakan hukum-hukum tajwid bermula dengan bab Hukum Nun Mati dan Tanwin dan diakhiri dengan bab Pembahagian Mad Lazim.

Dan selalunya matan Tuhfah al-Atfal akan dicetak bersama dengan matan Muqoddimah Jazariyyah karangan Syeikhul Qurra' al-Imam Ibnu al-Jazari,ini adalah untuk memudahkan para penuntut untuk belajar dan menghabiskan 2 matan yang penting dalam ilmu Tajwid ini. Didalam Muqoddimah Jazariyyah pula akan disyarahkan tentang Makharijul Huruf,penerangan tentang Sifat Huruf,Waqaf dan Ibtida' dan hukum Mad dan Qosr. Ini bermakna apabila seseorang itu manghabiskan dan mengkhatamkan 2 matan ini maka dia telah belajar asas-asas Ilmu Tajwid al-Quran mengikut riwayat Hafs 'An 'Asim dengan sempurna.

Perlulah kita ambil berat tentang ilmu ini kerana membaca al-Quran dengan bertajwid itu adalah wajib dan berdosa jika kita membaca al-Quran tanpa menjaga hukum-hukum tajwid. Syeikh Hasan Rajab ada berpesan kepada saya ketika bertalaqqi dengannya, kata Syeikh Hasan Rajab " Semua orang membaca al-Quran dengan niat hendakkan pahala dan syurga Allah,tapi mereka membaca al-Quran dengan penuh kesalahan dari segi tajwidnya,makhraj hurufnya,sebutan kalimahnya, lalu bagaimana mereka akan dapat mendekati syurga Allah sedangkan mereka melakukan dosa apabila membaca Kalamulllah ".

Mungkin lepas ni akan sambung lagi dengan Syeikh Hasan Rajab menggunakan kitab Muqoddimah Jazariyyah insyaAllah..mungkin tunggu lepas habis imtihan la kot..Doakan saya dan rakan-rakan untuk imtihan syahadah yang akan bermula pada 3 jun 2009 ini...ameenn..

0 ulasan:

 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.