Pages

Rabu, 29 April 2009

Empat perkara yang perlu dijauhi...


Empat keburukan perlu dijauhkan untuk menyelamatkan diri daripada kemudaratan serta kerugian iaitu:

1) Ilmu yang tidak dimanfaatkan.

2) Hati yang tidak khusyuk.

3) Nafsu yang tidak pernah kenyang.

4) Doa yang tidak dimakbulkan.

Perkara itu terkandung dalam doa diajar Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah kenyang dan daripada doa tidak dimakbulkan." (Hadis riwayat Muslim)

Ilmu tidak bermanfaat ialah pengetahuan yang tidak membawa kebaikan atau menyebabkan seseorang semakin jauh daripada jalan Allah sehingga iman yang sepatutnya bertambah, sebaliknya menjadi berkurangan.

Ilmu bermanfaat bukan saja membuka minda lebih luas, malah meningkatkan semangat seseorang mencari lebih banyak pengetahuan yang mendekatkannya kepada Allah dan pada masa sama menggunakannya demi memajukan diri, agama, masyarakat serta negara.

Mereka berakal iaitu yang sentiasa berfikir sentiasa mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah yang bermaksud: "Ada tanda bagi orang yang berakal (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya) berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan [Baca Selanjutnya...]undefined tidak ada bagi orang zalim itu seorang pun penolong." (Surah ali-Imran, ayat 190-191)

Orang yang menggunakan akal fikiran dengan melakukan pengamatan terhadap alam sambil mengingati Allah, lalu mereka segera teringat akan kehidupan di akhirat pasti termasuk mereka yang beruntung. Inilah gambaran mereka yang berakal dan cerdik memilih ilmu untuk diamalkan. Mereka tekun dengan ilmu yang bermanfaat. Mereka mengambil berat untuk memastikan ilmu diperoleh itu mesti menjadikan mereka lebih dekat dan tunduk kepada Allah.

Keburukan berikutnya adalah memiliki hati yang tidak khusyuk iaitu yang tidak tunduk kepada Allah. Hati liar dan tidak bersandar kepada Allah dalam menggapai ketenteraman serta kejernihan jiwa. Ciri orang beriman ialah mengingati Allah dan hati mereka menjadi tenteram. Firman Allah bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'du, ayat 28)

Begitulah pentingnya memiliki hati khusyuk sehingga Allah memperingatkan kita supaya waspada terhadap ketandusan atau kegersangan hati. Hal ini wujud apabila orang beriman terlalu lama mengabaikan ayat Allah sehingga hati menjadi tidak khusyuk dan lalai.

Satu-satunya cara ialah kembali menghidupkan ingatan dan perhatian terhadap ayat Allah, bukan saja ayat al-Quran, tetapi yang terkandung dalam penciptaan langit, bumi dan alam akhirat. Hidupkan makna ayat itu dalam kehidupan.

Firman Allah bermaksud: "Belumkah datang waktunya bagi orang beriman, untuk tunduk (khusyuk) hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang suda turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang sebelumnya diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)

Nafsu yang tidak pernah kenyang mudah terkesan dengan banyak fitnah yang tersebar, sehingga tawaran untuk menuruti hawa nafsu di sekeliling tidak dapat dielak. Hampir dalam semua keadaan ada peluang dan ruang untuk menuruti hawa nafsu dan dengan mudah dituruti. Oleh itu, kekuatan iman diperlukan sebagai benteng kerana Islam tidak membunuh nafsu tetapi menegaskan keperluan mendidik nafsu supaya manusia jangan cepat hanyut dipengaruhi kehendak hawa nafsu.

Apabila ia dilakukan dengan syariat, bukan saja seseorang terbebas daripada dosa bahkan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah kerana memenuhi hawa nafsu sesuai dengan syariat Allah. Sesungguhnya antara sahabat Rasulullah SAW ada yang berkata: "Ya Rasulullah, orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan solat seperti kami mengerjakan solat, dan mereka berpuasa seperti kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bukankah Allah menjadikan bagimu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh seseorang kepada kebaikan adalah sedekah dan tidur seorang kamu dengan isterinya adalah sedekah."

Mereka bertanya: Ya Rasulallah, apakah jika salah seorang daripada kami menyalurkan hawa nafsunya, apakah ia mendapat pahala? Rasulullah SAW menjawab: Tidakkah kamu tahu, apabila seseorang menyalurkan nafsunya kepada yang haram, dia berdosa? Demikian pula apabila disalurkan kepada yang halal, dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Muslim)

Bayangkan seorang Muslim berdoa kepada Allah, namun tidak dimakbulkan. Jelas ini adalah musibah sedangkan Allah menjamin jika seseorang memohon sesuatu kepada-Nya, pasti di makbulkan. Bagaimanapun, ada syaratnya iaitu memohon hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya.

Kedua, penuhi segala perintah Allah dan ketiga, beriman dengan sebenarnya kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Selasa, 28 April 2009

Dari mana asal-usul kita?

Pernahkah kita terfikir akan asal-usul kita? Pernahkah kita berfikir dimana kita berada sebelum kita lahir didunia fana’ ini? Dan pernahkah kita sedar yang kita ini berasal dari setitik air mani yang hina? Mungkin pernah dan mungkin yang belum lagi merenung disebabkan sibuk dgn tugas ataupun komitmen yang lain, namun jika kita sedar akan hakikat diri kita sebagai hamba Allah, pasti kita akan sedar akan asal usul kita dan dari mana asalnya kita ini.

Dizaman yang semakin maju ini, berapa ramai manusia yang jika kita perhatikan akan menampakkan bahawa nilai-nilai sebagai seorang manusia itu makin terhakis dalam dirinya, kita hidup didunia yang amat singkat ini sepatutnya kita kena selalu ingat yang kita akan kembali bertemu dengan Allah tuhan yang menciptakan kita hingga kita sampai ke tahap yang kita kecapi pada hari ini.

Siapa lah kita jika dengan segala kudrat yang Allah pinjamkan ini pun kita masih nak merasa bongkak dan ta’jub dengan diri sendiri, kita lalai dalam nak menunaikan segala suruhan yang telah Allah wajibkan keatas kita sehari semalam. Siapa kita hendak menentang dan mengingkari suruhan Allah? Siapa kita nak merasa bongkak dan ta’jub dgn secebis kehebatan yang kita ada pada hari ini? Andaikata Allah tidak memberi semua itu kepada kita, agak-agak dimanakah kita pada waktu ini?

Disaat umur kita masih lagi berbaki ini, marilah kita kembali untuk menjadi hamba yang sentiasa ingat kepada Allah walau dimana pun kita berada, jika kita taat kepada Allah maka akibat dari ketaatan itu kita yang akan tersenyum kelak, namun jika jalan kemaksiatan yang kita pilih, maka kelak kesengsaraan yang akan kita tempuhi…

Dan berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu ada faedah buat orang-orang yang beriman

Isnin, 27 April 2009

Penemuan terkini.....

Pijat tidak berbahaya

JEROME GODDARD, pakar entomologi dari Universiti Mississippi membuktikan bahawa isu serangga katil atau pijat memuncak apabila laporan kepada jabatan kesihatan dan tindakan undang-undang terhadap hotel-hotel di Amerika Syarikat meningkat.


Malah, ramai yang tidak sedar digigit serangga itu dan tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tetapi sesetengah lagi membengkak dan gatal di tempat gigitan. Ada juga yang memberi reaksi alergi seperti serangan asma.

Jelasnya, kehadiran serangga ini tiada kaitan dengan kebersihan atau sanitasi. Ia adalah berkenaan pergerakan manusia.

EKSTRA: Pijat paling aktif menjelang subuh atau beberapa jam sebelum matahari terbit. Ia memanjat dinding ke siling dan melompat ke bawah setelah mengesan kehadiran gelombang haba dan gas karbon dioksida.

*** Inilah penangan makcik pijat,walaupun kecil namun mampu untuk menggugat dunia, bersabarlah buat mangsa-mangsa pijat....hehehe...

Sumber: Harian Kosmo 27 April 2009

Sabtu, 25 April 2009

Kembalilah kepada Al-Quran


Mari kita sama-sama menyemak hubungan kita masing –masing dengan al-Quran. Orang yang paling banyak mencedok hidayah Allah SWT dari sumbernya iaitu al-Quran, dialah orang yang takwanya diiktiraf oleh Allah SWT.

Perlu diingat takwa itu bukan sekadar slogan-slogan sahaja tetapi ia perlu kita buktikan. Firman Allah SWT bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertakwa.” - Al Baqarah: 2

Tulisan saya hari ini tidak bercadang untuk merumitkan lagi pemikiran umat Islam dengan memanjangkan lagi perbincangan mengenai hukum orang kafir membaca al-Quran kerana kita telah maklum dan membaca serta mengikuti banyak pandangan mengenainya dari berbagai pihak dengan hujah masing-masing.

Malah ada di kalangan kita yang ghairah membaca isu ini dari berbagai-bagai surat khabar dan laman sesawang sehingga lebih banyak helaian yang dibaca, lebih masa menghadap internet daripada helaian al-Quran dan jangka masa yang kita habiskan lebih lama dari masa yang kita peruntukan untuk kita membaca al-Quran itu sendiri.

Tulisan hari ini tidak bercadang membincangkan hukum orang kafir membaca al-Quran tetapi saya ingin mengajak pembaca sekalian melihat hukum orang Islam yang tidak mahu membaca al-Quran, tidak mahu mendengar al-Quran, tidak mahu tunduk dengan hukum hakam al-Quran dan tidak mahu mengamalkan al-Quran.

Saya menegaskan dengan setegas-tegasnya, setiap orang Islam
undefined wajib membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepada mu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan. - Al Ankabut: 45

Firman Allah SWT, bermaksud: “Dan Aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepada Nya), dan supaya Aku sentiasa membaca al-Quran”. oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri.” - An Naml: 91-92

Firman Allah SWT, bermaksud: “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” - Surah Toha: 123

Firman Allah SWT, bermaksud: ”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Ia berkata: “Wahai Tuhan ku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepada mu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” - Surah Toha: 124-127

Malangnya hari ini, umat Islam terkejut dan terkedu apabila melihat orang kafir membaca al-Quran sedangkan tawaran kepada umat Islam sendiri dibiarkan begitu sahaja.

Rasulullah saw bersabda, bermaksud: “Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama dengan para Nabi dan Rasul sedangkan orang yang membaca al-Quran secara “merangkak-rangkak” ketika membacanya, baginya dua pahala.” - 6670 sahih Al Jami.’

Umat Islam masih tersipu-sipu malu untuk membaca al-Quran walaupun ganjarannya begitu lumayan sekali.

Rasulullah saw bersabda, bermaksud: “Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, baginya satu pahala, satu pahala akan digandakan dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif laam miim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” - 2910 sunan Tirmizi.

Malang sekali umat Islam sudah jauh berpaling dari mendekati al-Quran. Golongan dewasa begitu sibuk dengan mencari kehidupan dan harta, tekun mengikuti turun naik saham dan berita sensasi di media massa sehingga tidak sempat membaca al-Quran apatah lagi memahaminya, maka kehidupan pun jauhlah dari panduan al-Quran.

Golongan remaja pula sibuk mengikuti perkembangan gosip artis, ahli sukan, perkembangan terbaru telefon bimbit dan dunia keremajaan. Sanggup bersengkang mata sehingga jauh malam untuk menonton perlawanan bola sepak tanpa menjeling pun kepada naskhah al-Quran yang sangat rindu untuk didakap dibuka dan dibaca.

Pelajaran al-Quran diletakkan di hujung-hujung silibus pengajian formal ataupun tidak formal. Malah ada cadangan al-quran dibaca dengan tulisan rumi walaupun Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada persidangannya ke-24 pada tahun 1989 memutuskan bahawa haram menulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran, semata-mata untuk mengejar matlamat agar setiap anak-anak khatam juga al-Quran 30 juzuk’ secara kosmetik sahaja walaupun dengan membacanya dengan tulisan rumi.

Marilah kita kembali kepada al-Quran!

Sumber:Sinar Harian Online 17 April 2009

 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.