Pages

Sabtu, 16 Januari 2010

Sebulan berlalu....



Sabtu 01 Safar 1431 Hijri...
Telah sebulan kita mengharungi tahun baru hijri..tahun Islam..ya, mungkin juga ada yg tidak perasan atau memang langsung tidak hiraukan tentang tahun dan bulan Islam kerna sedari kecil hanya ditanam dengan bulan-bulan masihi....

Sabtu 16 Januari 2010 Masihi....
Setengah bulan baru menjengah ke era 2010, ramai yang menanam azam baru ataupun masih berusaha untuk melunaskan azam yang sebelum-sebelumnya yang masih lagi belum dapat dilunaskan. Tidak kurang juga yang masih lagi tercari-cari calon istimewa persis seperti Mas Azzam barangkali.....hihi.

Yang baru hanyalah tahun, yang baru adalah umur yang makin meningkat, makin menginjak dekat ke penghujung... Tarikh masih lagi sama seperti sebelumnya.

Realitinya masa yang pergi meninggalkan kita itu membawa pelbagai kenangan, pengalaman, cabaran, dan juga memberi kepada kita banyak ilmu untuk kita terus berjalan merantau di dunia ini.

1430H/2009M pergi dengan memberi banyak makna kepada diri saya dalam permusafiran ilmu ini, bukan pengalaman yang hanya dibiar begitu sahaja, namun ianya amat bernilai dan berharga untuk masa depan yang liku cabarannya amat menakutkan. Pengalaman dan kenangan manis bersama sahabat seperjuangan mungkin tak dapat dilupakan, pengalaman dalam menjalankan tugas amanah yang akan dipersoalkan, pengalaman bersama sahabat-sahabat didalam Program KutubSittah PMRAM yang amat menyeronokkan dan amat manis jika dapat dirasai serta banyak lagi kenangan yang tidak perlu untuk disebutkan disini.

1430H/2009M juga mengajar erti supaya lebih tekun dan lebih kerap untuk berdamping bersama al-Quran. Teringat ketika masih lagi di alam menghafaz, ayat yang selalu dan acap kali Ustaz Zuhir sebutkan dan lemparkan ke telinga saya adalah '' Bagi ingat Quran betoi-betoi dulu,nanti baru senang nak mengaji ilmu lain ''. Memang al-Quran amat kuat cemburunya dan amat susah untuk memujuknya.

Sebulan yang lepas kakak saya selamat berkahwin dan menjadi isteri yang sah kepada suami yang tercinta..hehehe... Selamat Pengantin Baru Kak Tam... baru sebulan kan..hehehe.. Meriah tengok kenduri dia, jeles tak dapat hadir sama,sekadar menatap dari jauh pon ok per kan...

Tapi pastikan tahun ini lebih bermakna dan lebih baik untuk diri kita dari tahun-tahun yang sebelumnya. Ingatlah, Masa yang tinggal untuk kita hanyalah hari ini sahaja kerana kelmarin telah berlalu pergi meninggalkan kita, esok pula belum pasti kita akan temui, apa yang tinggal untuk kita adalah masa dimana kita berada.




Ahad, 3 Januari 2010

Menyambut tetamu agung....




PADA suatu hari, Nabi Muhammad bersama sekumpulan orang Islam telah berhijrah ke Madinah. Penduduk Madinah menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad. Masing-masing berebut-rebut menjemput Nabi Muhammad tinggal dirumah mereka.

Melihat keadaan itu, Nabi Muhammad pun berkata: "Saya akan ikut sahaja ke mana arah dan tempat unta yang saya tunggang ini akan berhenti. Maka di situlah tempat saya akan menginap."

Dengan izin Allah unta yang ditunggang oleh Nabi Muhammad berhenti betul-betul di hadapan rumah Abu Ayyub Khalid bin Zaid. Dia lebih dikenali dengan panggilan Abu Ayyub al-Anshari.

Kedatangan Nabi Muhammad ke rumah Abu Ayyub disambut baik oleh tuan rumah. Isteri Abu Ayyub yang bernama Ummu Ayyub binti Qais bin Saad al-Khazrajiyah al-Anshariyah juga menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad.

Ummu Ayyub sangat gembira kerana mendapat tetamu iaitu Nabi Muhammad. Bermula pada hari itu Ummu Ayyub dan suaminya melayani Nabi Muhammad dengan baik di rumahnya.

Rumah Abu Ayyub mempunyai dua buah bilik iaitu satu di bahagian bawah dan satu di bahagian atas.

Ummu Ayyub berkata kepada suaminya, "saya cadangkan Nabi Muhammad tidur di bilik atas. Kita tidur sahaja di bilik bawah ini."

Mendengar cadangan itu Abu Ayyub pun berkata, "Saya bersetuju dengan cadangan awak. Saya akan ajukan cadangan ini kepada Nabi Muhammad."

menghormati tuan rumah

Tanpa berlengah, Abu Ayyub bergegas berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata: "Wahai tuan, jemputlah tidur di bilik atas sahaja. Bilik atas lebih selesa buat tuan."

Nabi Muhammad tersenyum lalu berkata: "Terima kasih atas pelawaan awak itu. Sebagai menghormati tuan rumah, bagi saya lebih baik saya tidur di bilik bawah sahaja".

Abu Ayyub tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Dia akur dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad.

Pada malam itu Abu Ayyub dan isterinya tidur di bilik atas. Mereka tidak selesa dengan keadaan itu. Selang beberapa jam kemudian, tiba-tiba bekas air yang terdapat di bilik mereka pecah. Air melimpah ke atas lanta bilik. Lantai bilik mereka ada lubang-lubang kecil.

"Cepat ambil selimut itu. Lapkan air yang tumpah ini," kata Ummu Ayyub kepada suaminya.

Sementara itu Ummu Ayyub mengelap air yang tumpah dengan kain lain. Dia tidak mahu Nabi Muhammad terjaga dari tidur akibat terkejut dengan titisan air yang tumpah dari bilik atas rumah itu.

Pada keesokan harinya, Ummu Ayyub bangun dari tidur dan berkata kepada suaminya: "Saya harap Nabi Muhammad tidak terkejut dari tidurnya semalam. Air yang tumpah itu terlalu banyak sehingga selimut kita basah."

Abu Ayyub juga risau akan peristiwa yang berlaku semalam. Pada pagi itu, Abu Ayyub segera berjumpa dengan Nabi Muhammad dan berkata: "Tuan, saya merayu pada tuan supaya tidur di bilik atas sahaja. Tidak elok tetamu saya tidur di bilik bawah. Saya berasa tidak selesa sekiranya tuan terus tinggal di bilik bawah."

Selepas Abu Ayyub merayu kepada Nabi Muhammd akhirnya Nabi Muhammad bersetuju untuk berpindah ke bilik atas. Ummu Ayyub sangat menghormati Nabi Muhammad.

Segala keperluan makan dan minum Nabi Muhammad dijaga dengan baik oleh pasangan suami isteri itu. Ummu Ayyub juga mengetahui makanan kegemaran Nabi Muhammad ialah sup.

Pada satu malam, Nabi Muhammad menerima hadiah berupa makanan dari Saad bin Ubbadah. Makanan itu dipenuhi dengan sup. Nabi Muhammad makan sup itu dengan penuh selera sehingga habis.

Mulai malam itu, Ummu Ayyub selalu menyediakan makanan berbentuk sup untuk Nabi Muhammad.

Ummu Ayyub juga turut menyediakan bubur campuran daging buat Nabi Muhammad. Hidangan yang disediakan oleh Ummu Ayyub untuk Nabi Muhammad dijamah dengan penuh selera oleh Nabi Muhammad.

Baginda tinggal di rumah Abu Ayyub selama tujuh bulan. Kebaikan yang ditonjolkan oleh Ummu Ayyub merupakan satu contoh teladan yang boleh kita ikuti. Ummu Ayyub sangat menghormati dan melayani kehendak tetamunya dengan baik.

Sepanjang hayatnya, Ummu Ayyub turut melaporkan hadis daripada Nabi Muhammad. Sejarah Islam mengatakan bahawa Ummu Ayyub adalah seorang wanita yang sangat beruntung dan bertuah kerana pernah menjaga makan dan minum Nabi Muhammad.

 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.