Pages

Ahad, 21 Jun 2009

Hukum Saktah dalam al-Quran


Salah satu bab yang kita pelajari didalam Ilmu Tajwid adalah mengenai hukum saktah. Saktah menurut bahasa membawa erti berdiam.

Menurut istilah Ilmu Tajwid saktah bermaksud: Menghentikan bacaan sekejap tanpa menukar nafas dengan kadar masa dua harakat dan menyambung kembali bacaan dengan nafas yang sama.

Sebahagian Ulama’ Qurra’ menjelaskan bahawa saktah adalah sejenis waqaf yang lemah lembut tanpa bertukar nafas. Tujuan bacaan saktah adalah untuk mengasingkan antara dua patah perkataan supaya tidak menimbulkan kesamaran kepada pengertian ayat-ayat tertentu.

Didalam al-Quran Rasm Uthmani terdapat tanda huruf sin kecil ( س ) terletak diatas huruf akhir pada beberapa kalimah untuk menunjukkan berlaku hukum saktah pada kalimah itu.

Bacaan saktah bagi riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim menurut Toriq al-Syatibi terdapat pada empat tempat tanpa khilaf:

1) Saktah di atas Alif pada kalimah عوجا (Surah al-Kahfi: 1)

2) Saktah di atas Alif pada kalimah من مرقد نا (Surah Yasin: 52)

3) Saktah di atas Nun pada kalimah وقيل من راق ( Surah al-Qiyamah: 27)

4) Saktah di atas Lam pada kalimah بل ران ( Surah al-Mutaffifin: 14)

Dan harus bagi bacaan riwayat Hafs di atas ha’ pada kalimah ما ليه هلك (Surah al-Haqqah:28) dua wajah bacaan:

1) Mengizharkannya serta saktah.

2) Mengidghamkannya.

Maka ini semua adalah contoh serta hukum bacaan saktah bagi riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim menurut apa yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Syatibi didalam kitabnya yang masyhur dan amat banyak keberkatan dan faedah yang berjudul Hirzul Amani wa Wajhut Tahani.

Bacaan saktah berlaku apabila kita membaca satu ayat secara sambung tanpa waqaf, jika bacaan saktah itu berlaku pada ayat yang mempunyai tanda Waqaf Tam seperti من مرقد نا didalam surah Yasin ataupun hukum saktah itu berlaku pada Ra’su Ayat (Kepala Ayat) seperti عوجا didalam surah al-Kahfi dan juga ما ليه هلك didalam surah al-Haqqah, maka harus bagi kita berhenti dan menukar nafas pada tempat-tempat tersebut dan tidak berlaku hukum saktah pada tempat-tempat tersebut. Dan adalah menjadi satu kesalahan jika kita meninggalkan bacaan saktah tanpa alasan yang munasabah pada surah al-Qiyamah: 27 dan pada surah al-Mutaffifin: 14, kerana perbuatan tersebut menyalahi kaedah bacaan yang Mutawatir.


Rujukan:

1) Hidayah al-Qori ila Tajwid Kalam al-Bari- Syeikh Abdul Fattah al-Mursifi Rahimahullah.

2) Nihayah al-Qaul al-Mufid fi Ilmi al-Tajwid- Syeikh Muhammad Makki Nasr al-Juraisi Rahimahullah.

3) Tajwid al-Quran (Qiraat 'Asim Riwayat Hafs Toriq Syatibi )- Abu Mardhiyah Hafizahullah.

4) Tajwid al-Quran Rasm Uthmani- Haji Abdul Qadir Leong al-Azhari Hafizahullah.

Selasa, 2 Jun 2009

Ya Allah...mudahkan lah aku dalam urusan ini...


Hari berganti hari,minggu berganti minggu,bulan berganti bulan,tanpa ku sedari esok adalah hari pertama imtihanku di tahun akhir ini...

Esok 3 Jun 2009 adalah hari pertama imtihan bagi pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di tahun akhir syahadah takhassus di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra. Hmm...sedar tak sedar dah nak mula imtihan,rasa banyak lagi yang tak ingat dan tak study...ya Allah...imtihan esok akan dimulakan dengan subjek Tarikh Mushaf, kemudian al-Quran Tahriri (Penulisan), seterusnya diikuti dengan subjek Dhobt dan diteruskan dengan subjek Qiraat Tahriri, berikutnya diteruskan lagi dengan subjek Fawasil, Ulum al-Quran dan diakhiri pada 18 Jun 2009 insyaAllah dengan subjek Sejarah hidup Imam-imam Qiraat dan Perawinya..

Memang kita akui bahawa kita belajar bukan untuk imtihan, tapi tanpa imtihan bagaimana kita akan mengetahui akan kemampuan kita dalam sesuatu bidang ataupun subjek yang kita pelajari, imtihan mungkin akan menjadi satu medan untuk kita muhasabah akan kemampuan kita dalam bidang yang kita dalami untuk kita baiki dan menambah baikkan lagi kualiti mana-mana yang kita lemah supaya kelak kita tidak akan menyebarkan sesuatu yang salah kepada sesiapa yang mungkin akan menuntut ilmu dari kita ataupun untuk diri kita sendiri.

Selamat menempuh imtihan buat semua sahabat-sahabat tahun 3 Shoubra dan moga Allah memberikan kemudahan serta kejayaan buat kita semua insyaallah...

p/s: Abah, Mak, bangchaq, bangchik, kakteh, kaktam, wan, alip N nadia..doakan abang kat sini okey...buat semua yang mengenaliku,doakan aku dan kawan-kawanku kat sini semua moga najah semuanya...ameen...
 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.