Ahad, 21 Jun 2009

Hukum Saktah dalam al-Quran


Salah satu bab yang kita pelajari didalam Ilmu Tajwid adalah mengenai hukum saktah. Saktah menurut bahasa membawa erti berdiam.

Menurut istilah Ilmu Tajwid saktah bermaksud: Menghentikan bacaan sekejap tanpa menukar nafas dengan kadar masa dua harakat dan menyambung kembali bacaan dengan nafas yang sama.

Sebahagian Ulama’ Qurra’ menjelaskan bahawa saktah adalah sejenis waqaf yang lemah lembut tanpa bertukar nafas. Tujuan bacaan saktah adalah untuk mengasingkan antara dua patah perkataan supaya tidak menimbulkan kesamaran kepada pengertian ayat-ayat tertentu.

Didalam al-Quran Rasm Uthmani terdapat tanda huruf sin kecil ( س ) terletak diatas huruf akhir pada beberapa kalimah untuk menunjukkan berlaku hukum saktah pada kalimah itu.

Bacaan saktah bagi riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim menurut Toriq al-Syatibi terdapat pada empat tempat tanpa khilaf:

1) Saktah di atas Alif pada kalimah عوجا (Surah al-Kahfi: 1)

2) Saktah di atas Alif pada kalimah من مرقد نا (Surah Yasin: 52)

3) Saktah di atas Nun pada kalimah وقيل من راق ( Surah al-Qiyamah: 27)

4) Saktah di atas Lam pada kalimah بل ران ( Surah al-Mutaffifin: 14)

Dan harus bagi bacaan riwayat Hafs di atas ha’ pada kalimah ما ليه هلك (Surah al-Haqqah:28) dua wajah bacaan:

1) Mengizharkannya serta saktah.

2) Mengidghamkannya.

Maka ini semua adalah contoh serta hukum bacaan saktah bagi riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim menurut apa yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Syatibi didalam kitabnya yang masyhur dan amat banyak keberkatan dan faedah yang berjudul Hirzul Amani wa Wajhut Tahani.

Bacaan saktah berlaku apabila kita membaca satu ayat secara sambung tanpa waqaf, jika bacaan saktah itu berlaku pada ayat yang mempunyai tanda Waqaf Tam seperti من مرقد نا didalam surah Yasin ataupun hukum saktah itu berlaku pada Ra’su Ayat (Kepala Ayat) seperti عوجا didalam surah al-Kahfi dan juga ما ليه هلك didalam surah al-Haqqah, maka harus bagi kita berhenti dan menukar nafas pada tempat-tempat tersebut dan tidak berlaku hukum saktah pada tempat-tempat tersebut. Dan adalah menjadi satu kesalahan jika kita meninggalkan bacaan saktah tanpa alasan yang munasabah pada surah al-Qiyamah: 27 dan pada surah al-Mutaffifin: 14, kerana perbuatan tersebut menyalahi kaedah bacaan yang Mutawatir.


Rujukan:

1) Hidayah al-Qori ila Tajwid Kalam al-Bari- Syeikh Abdul Fattah al-Mursifi Rahimahullah.

2) Nihayah al-Qaul al-Mufid fi Ilmi al-Tajwid- Syeikh Muhammad Makki Nasr al-Juraisi Rahimahullah.

3) Tajwid al-Quran (Qiraat 'Asim Riwayat Hafs Toriq Syatibi )- Abu Mardhiyah Hafizahullah.

4) Tajwid al-Quran Rasm Uthmani- Haji Abdul Qadir Leong al-Azhari Hafizahullah.

0 ulasan:

 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.