Pages

Khamis, 13 Ogos 2009

Pergi tak kembali

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…”- Allahyarham Asri Ibrahim

Berita pemergian vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani amat mengejutkan, buat peminat lagu-lagu nasyid pasti akan merasai kehilangan Ust Asri Hj Ibrahim setelah sekian lama beliau berjuang melalui medan dakwah seni suara mengalunkan lagu-lagu ketuhanan, zikir-zikir dan juga ayat-ayat suci al-Quran. Pada mereka yang lahir sekitar tahun 1980-an, 199o-an dan alaf 21, suara Ustaz Asri menemani zaman bayi, kanak-kanak dan remaja kita. Allahyarham mengalunkan azan di kaca televisyen, menjadi ketua selawat jika hadirnya Maulidur Rasul dan zikirnya meronai pagi kita di corong-corong radio. Suara Ustaz Asri bahkan akrab mengajar kita nama-nama Allah melalui zikir Asma ul Husna, Tola’al dan terlalu banyak untuk dituntaskan di sini.

Secara peribadi saya mula mengenali Ust Asri ketika berumur 11 tahun dan dari situlah saya mula mengenali irama nasyid serta terus mengikuti perkembangan Ust Asri bersama Rabbani dan kumpulan-kumpulan nasyid yang lain sehingga sekarang, namun apa yg disebut sebagai ajal itu ia tidak lewat dan tidak pula cepat walau sesat untuk datang kepada manusia. Pemergian Ust Asri juga merupakan kehilangan besar buat industri nasyid tanah air kerana Allahyarham merupakan antara penasyid yang mempunyai suara emas dan juga sifat yang tawadhuk serta murah senyuman.

Moga Allah menempatkan ruh Allahyarham dikalangan hambanya yang soleh serta dicucuri rahmat serta maghfirahnya, ini juga sebagai peringatan kepada kita yang masih lagi diberi izin untuk bernyawa agar sentiasa melakukan amal kebajikan dan senantiasa ingat bahawa mati itu tidak mengenal sesiapa, ia pasti akan datang namun masa dan ketika sahaja yang kita tidak ketahui. al-Fatihah buat Allahyarham Ust Mohd Asri bin Hj Ibrahim.

PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

0 ulasan:

 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.