Pages

Jumaat, 4 September 2009

Jom daftar sekarang....


Alahamdulillah...sedar tak sedar kita dah pun berada hampir di pertengahan Ramadan... moga Ramadan kali ini memberikan sesuatu yang amat bermakna buat kita semua....

Sahabat-sahabat sekalian.. pendaftaran untuk Majlis Pembacaan Kutub Sittah telah pun dibuka, ayuh kita ramai-ramai mendaftar untuk hadir ke program yang amat bermanfaat ini. Peluang untuk kita sama-sama membaca hadith Rasulullah sallallahu 'Alaihi Wasallam bukan mudah untuk kita dapat... Jom kita rebut peluang berharga ini...

Untuk maklumat lanjut berkenaan program, sahabat-sahabat boleh layari blog rasmi program :
http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/

Sabtu, 29 Ogos 2009

Majlis Hadith bersama Masyaikh al-Azhar


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) buat julung-julung kalinya akan menganjurkan program Majlis Pembacaan Kutub Sittah yang akan dimulakan dengan pembacaan kitab Sahih Bukhari pada bulan Oktober ini.

Bertepatan dengan tema Julang Thaqafah Bakti Dicurah, PMRAM sentiasa berusaha untuk menganjurkan majlis-majlis yang boleh menambahkan thaqafah kepada mahasiswa-mahasiswi Malaysia tidak kira pengajian Islam mahupun Perubatan, justeru itu program ini diharapkan akan dapat memberi pengetahuan dan pengalaman yang amat bernilai buat mahasiswa-mahasiswi yang berada di Mesir untuk merebut peluang membaca hadith-hadith Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang direkodkan oleh Imam Bukhari Rahimahullahu Ta'ala didalam sahihnya. Kita bukan sahaja dapat mendengar hadith-hadith baginda akan tetapi kita juga dapat mendengar kalam-kalam mutiara daripada Masyaikh al-Azhar yang dijemput.

Peluang keemasan tidak akan datang selalu dan sementara kita masih lagi berada dibumi anbiya' ini marilah sama-sama kita merebut peluang untuk mengkhatamkan sekurang-kurangnya sebuah kitab hadith, insyaAllah banyak keberkatan yang akan kita dapat bilamana kita bersama-sama didalam majlis ilmu yang sentiasa disebut-sebut nama Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Tanaman Akhirat



Ramadhan tiba lagi dan alhamdulillah sekali lagi Allah memberikan umur kepada kita untuk sampai ke Ramadhan 1430 hijriah pada kali ini. Ramadhan adalah satu bulan yang Allah Ta'ala hadiahkan untuk umat Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang tidak diberi kepada umat terdahulu, Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan ganjaran pahala bagi insan yang mengerti akan kepentingan pahala dan bagi sesiapa yang sedar akan keperluan menanam dan melabur dalam satu pelaburan yang mana hasilnya akan dikutip di akhirat kelak.

Ramadhan juga mengajar seorang muslim itu erti lapar dan dahaga supaya setiap muslim itu dapat merasakan akan kesusahan saudaranya yang berada dalam kesusahan dan kepayahan hidup, Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan tarbiyyah dan pendidikan buat seorang yang mengaku beriman dalam ia hendak menundukkan nafsunya dan mendidik nafsunya agar tunduk dan patuh untuk melakukan ibadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan merendah diri serta sedar akan sifatnya sebagai hamba Allah dimuka bumi ini.

Moga kita semua sama-sama merebut peluang berada didalam Ramadhan tahun ini untuk melakukan amal kebajikan sebanyak mungkin sebagai pelaburan kita untuk saham akhirat yang mana ia akan menjadi bekalan kita semua di akhirat nanti...


bulan ramadhan bulan bertuah
bulan ibadah bulan mujahadah
bulan rahmat bulan maghfirah
bulan al Quran dan lailatulqadar

besar ramadhan dengan puasa
di waktu malamnya tambahkan ibadah
bacalah al Quran banyakkanlah sedekah
terawih kerjakanlah walaupun sunat

pelihara mata jagalah telinga
kawallah lidah dari yg sia-sia
fikirkanlah yg mendatangkan faedah
hubungkan hatimu dgn Allah

zikir selawat doa panjatkan
pahala ramadhan diganda-gandakan
jgn lupakan jgn lalaikan
ramadhan tiba setahun sekali

bulan ramadhan bayarlah fitrah
untuk membersihkan hati dan diri
sebagai bantuan kpd yg susah
agar mereka gembira dihari raya

Allahu ya Allah
kepada Mu kami beriman
kerana Mu kami berpuasa
di bulan ini bulan yang mulia
kami mohon rahmat ya Allah
ke ampunan Mu wahai Tuhan

bykkan iktikaf disepuluh hari terakhir
lailatulqadar berlaku dimalam itu
kitakan mendapat pahala yg besar
seperti beribadah seribu bulan

Khamis, 13 Ogos 2009

Pergi tak kembali

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…”- Allahyarham Asri Ibrahim

Berita pemergian vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani amat mengejutkan, buat peminat lagu-lagu nasyid pasti akan merasai kehilangan Ust Asri Hj Ibrahim setelah sekian lama beliau berjuang melalui medan dakwah seni suara mengalunkan lagu-lagu ketuhanan, zikir-zikir dan juga ayat-ayat suci al-Quran. Pada mereka yang lahir sekitar tahun 1980-an, 199o-an dan alaf 21, suara Ustaz Asri menemani zaman bayi, kanak-kanak dan remaja kita. Allahyarham mengalunkan azan di kaca televisyen, menjadi ketua selawat jika hadirnya Maulidur Rasul dan zikirnya meronai pagi kita di corong-corong radio. Suara Ustaz Asri bahkan akrab mengajar kita nama-nama Allah melalui zikir Asma ul Husna, Tola’al dan terlalu banyak untuk dituntaskan di sini.

Secara peribadi saya mula mengenali Ust Asri ketika berumur 11 tahun dan dari situlah saya mula mengenali irama nasyid serta terus mengikuti perkembangan Ust Asri bersama Rabbani dan kumpulan-kumpulan nasyid yang lain sehingga sekarang, namun apa yg disebut sebagai ajal itu ia tidak lewat dan tidak pula cepat walau sesat untuk datang kepada manusia. Pemergian Ust Asri juga merupakan kehilangan besar buat industri nasyid tanah air kerana Allahyarham merupakan antara penasyid yang mempunyai suara emas dan juga sifat yang tawadhuk serta murah senyuman.

Moga Allah menempatkan ruh Allahyarham dikalangan hambanya yang soleh serta dicucuri rahmat serta maghfirahnya, ini juga sebagai peringatan kepada kita yang masih lagi diberi izin untuk bernyawa agar sentiasa melakukan amal kebajikan dan senantiasa ingat bahawa mati itu tidak mengenal sesiapa, ia pasti akan datang namun masa dan ketika sahaja yang kita tidak ketahui. al-Fatihah buat Allahyarham Ust Mohd Asri bin Hj Ibrahim.

PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Pesanan Dr Abd Karim Zaidan

BINGKISAN DARI YAMAN
Oleh: Imran al-Malizi

Beberapa bulan yang lalu, saya diberitahu bahawa beliau sedang sakit tenat dan enggan menerima tetamu. Beliau memerlukan rehat yang secukupnya lantaran faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada hari Selasa, 21 Julai 2009, kami diberi kesempatan untuk menziarahi guru kami, Dr. Abdul Karim Zaidan, seorang ulama yang berasal dari Iraq dan sangat dikenali di peringkat antarabangsa. Keluasan ilmunya membuatkan pandangan-pandangan beliau sentiasa diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan semasa yang berkaitan dengan Islam.

Kitab-kitab karangannya telah digunakan sebagai teks usrah semenjak sekian lama. Malah beberapa kitab karangannya juga digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti. Di antara karyanya yang masyhur ialah Usul al-Da’wah, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Nizhom al-Qadha’, al-Mufasshal dan banyak lagi.

Dr. Abdul Karim Zaidan sangat cintakan ilmu dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik generasi umat ini. Beliau pernah berkata, “Aku sangat mengharapkan agar aku mati dalam keadaan sedang mengajar..”

Selepas solat Maghrib di Masjid Abu Bakar as-Siddiq di Hadda, kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke kediaman Dr. Abdul Karim Zaidan. Kami disambut oleh anak lelakinya yang bernama Mohammed. Tidak lama menunggu di ruang tamu, Dr. Abdul Karim Zaidan muncul dengan dipapah oleh Mohammed.

Begitulah keadaannya ketika mengajar di dewan-dewan kuliah, walaupun dalam keadaan susah dan hampir tidak mampu untuk berjalan lagi, beliau tetap hadir demi menyampaikan ilmu. Usianya yang sudah mencecah 92 tahun tidak menghalangnya daripada terus menyumbangkan jasa kepada Islam.

Kami sangat bertuah kerana pertemuan pada malam itu dibuat sebelum beliau bertolak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan menziarahi kaum kerabatnya di sana. Kemungkinan beliau akan pulang semula ke Yaman selepas beberapa minggu.

Dalam pertemuan ini, Dr. Abdul Karim Zaidan telah sudi untuk menjawab beberapa persoalan yang kami kemukakan khusus mengenai perkembangan politik Islam di Malaysia.

Berbicara tentang tahaluf siyasi iaitu perjanjian atau persepakatan politik, PAS telah pun bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain dan berjaya menguasai beberapa buah negeri dalam pilihanraya ke-12 yang lalu. Kerjasama ini kemudiannya disebut sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin ramai lagi yang masih keliru tentang istilah tahaluf siyasi ini dan kurang pasti apakah matlamatnya dan di manakah batas-batas dan garis sempadannya?

Bagi menjelaskan perkara ini, Dr. Abdul Karim Zaidan berkata, “Ianya (tahaluf siyasi) tidak dilakukan secara mutlak, hanya digunakan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat ini mestilah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh, Nabi s.a.w membuat perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah dengan matlamat tertentu, contohnya mereka tidak boleh memerangi kaum Muslimin dan sebagainya. Begitulah juga bagi PAS dan parti yang bukan Islam.. (kerjasama ini) hanya bagi mencapai suatu matlamat tertentu.”

Tambah beliau lagi, “Sebagai contohnya, jika golongan sekular mahu menetapkan satu sistem pendidikan yang tidak menepati Islam, maka kamu jangan menerima dan bersetuju dalam perkara ini. Maksudnya, tahaluf siyasi ini dibenarkan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Islam.”

“Jika PAS bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat yang menepati Islam dan syarak, ianya dibolehkan,” ujarnya.

Dengan syarat-syarat ini, maka kerjasama PAS dengan pihak-pihak lain hanyalah dibenarkan dalam mencapai matlamat tertentu yang menepati kehendak Islam, demi menegakkan keadilan yang menyeluruh, menolak kezaliman dan sebagainya. Selagi mana mereka bersetuju dengan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS, maka kerjasama ini hendaklah diteruskan dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama.

Berkenaan dengan kewajipan bersama dengan perjuangan Islam, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, “Parti Islam mesti dianggotai oleh semua orang-orang Islam. Mereka mesti meminta pandangan para ulama dalam semua perkara yang hendak dilakukan.”

Menyentuh tentang kepimpinan dalam satu jemaah yang memperjuangkan Islam pula, beliau menjelaskan, “Yang layak menjadi pemimpin ialah seorang alim dan faqih (ulama) pada waktu itu, jika tiada maka boleh dipertimbangkan orang yang memiliki ilmu yang mencukupi dan dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan memiliki keperibadian yang baik. Dia mesti mendapatkan pandangan para ulama untuk membuat apa-apa keputusan.”

Menjawab persoalan adakah pandangan pemimpin jemaah wajib diikuti dan adakah boleh berlaku perbezaan pandangan dalam satu jemaah Islam, Dr. Abdul Karim Zaidan lebih suka mengatakan bahawa syura adalah satu kemestian bagi pimpinan jemaah Islam.

Katanya, “Asal hukum dalam Islam, bagi jemaah yang dipimpin oleh seorang ketua, dia mesti bermesyuarat dengan mereka (Majlis Syura). Apabila sudah menjadi ketetapan yang disepakati bersama, maka keputusan itu dilaksanakan. Orang-orang lain yang berada di dalam jemaah tidak boleh bertelingkah dan hendaklah berpegang dengan keputusan itu.”

Akhir sekali Dr. Abdul Karim Zaidan memberi pesanan kepada para pemuda-pemudi Islam. Katanya, “Nasihat saya kepada golongan pemuda dan pemudi Islam, supaya bertakwa kepada Allah. Kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w supaya bertakwa kepadaNya. Syarat-syarat bertakwa kepada Allah ialah melaksanakan perintah-perintahNya dan berhenti daripada melakukan segala laranganNya.”

Katanya lagi, “Kamu mesti mempelajari ilmu agama dengan ikhlas kepada Allah Ta’ala dan bertujuan untuk beribadat kepadaNya. Untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Firman Allah, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5).

Sesungguhnya bagi Dr. Abdul Karim Zaidan sendiri, beliau sangat arif dan telah menempuh banyak pengalaman pahit dan manis dalam memperjuangkan Islam.

Maka itu bagi para pejuang Islam, beliau sangat menekan kedua-dua pesanan ini dalam mengharungi perjuangan. Iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah S.W.T dan mengikhlaskan diri dalam segala amalan kita.

Allah S.W.T akan memberikan pertolongan kepada orang-orang yang bertakwa dan hanya menerima amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Dengan ini, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan halangan dengan penuh kesabaran.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan orang-orang yang memperjuangkan agama Allah, “Kita memohon agar Allah mempertahankan orang-orang yang beriman, semoga Allah mempertahankan dan memelihara kamu, semoga Allah membalas kembali perbuatan orang-orang yang melakukan kejahatan. Allah Maha Berkuasa mengatasi mereka. Semoga Allah menerima daripada kamu sebaik-baik amalan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Pengampun ” Amin.

Sumber: http://satuumat.blogspot.com/
 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.