Pages

Jumaat, 28 November 2008

CIRI-CIRI JAMAAH ISLAMIYYAH YANG DIWAJIBKAN KITA BERSAMA-SAMA DENGANNYA

Di antara perkara-perkara yang telah diterima dan tidak dapat dipertikaikan lagi, bahawasanya setiap pertubuhan atau Jamaah sama ada Jamaah. Islamiyyah atau pun jamaah yang selain daripada itu, mesti mempunyal ciri-cirinya yang tertentu. Dengan demikian ia dikenali dan dapat dibezakan dari jamaah yang selain daripadanya. Jadi apakah ciri-ciri atau prinsip-prinsip Jamaah Islamiyyah yang menonjol dan membezakannya dari segala Jamaah atau pertubuhan dan ideologi yang dibuat oleh manusia di atas muka bumi ini.
Sebenarnya ciri-ciri Jamaah Islamiyyah telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Terdapat nas-nas daripada Al Qur’an dan As-Sunnah yang menerangkan tentang ciri-ciri Jamaah Islamiyyah.

Di antara ciri-ciri yang ada pada sebuah Jamaah Islamiyyah ialah :

1. Jamaah yang meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang dapat membangun semua ummah, dapat membebaskan semula golongan mustadh’afin dan menyelamatkan dunia dari kehuru-haraan dan kehancuran.

2. Jamaah yang lahir di atas kesedaran sendiri. Tidak dipengaruhi oleh mana-mana golongan sama ada timur ataupun barat. Lahirnya kerana tuntutan Al Qur’an dan As-Sunnah.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al Qur’an : Maksudnya:

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang dan melakukan segala perbuatan yang salah. Dan mereka (yang bersifat demikian), ialah orang-orang yang berjaya."

Dan sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan dari Huzaifah Al Yaman : Maksudnya :

" Wajiblah kamu bersama Jamaah Muslimin dan pimpinan mereka.

3. Jamaah yang meyakini akan kesejagatan Islam sebagaimana firman Allah Taala :
Maksudnya :

" Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Kedatangan Islam ialah untuk memberi kebahagian kepada sekalian makhluk terutamanya terhadap manusia. Ianya tidak ditentukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu dan Turki, bahkan ianya untuk seluruh manusia.
Berdasarkan kepada hakikat inilah, maka PAS sebagai sebuah Jamaah Islamiyyah membuka keahliannya kepada semua orang Islam dengan tidak mengira apa bangsa mereka. PAS adalah berlainan dengan mana-mana pertubuhan atau parti-parti politik lain yang hanya menerima keanggotaannya dan bangsa-bangsa tertentu sahaja.
4. Jamaah yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh. Sebagaimana firman Allah Taala : Maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam agama Islam (dengan mematuhinya) seluruh hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata."

5. Jamaah yang mengutarakan kebenaran yang tunggal dalam sejarah perjuangan ummat Islam iaitu Jamaah yang memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya:

" Akan terus wujud segolongan ummatku yang berani melahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudharat kepada mereka oleh orang~rang yang menyanggahinya sehingga datangnya perintah dari Allah."

Inilah amalan dan sikap Jamaah Islamiyyah. Ia berterus terang di dalam menyatakan kebenaran walaupun dl saat-saat orang lain membisu seribu bahasa. Biarpun tindakan demi tindakan dikenakan terhadap anggotanya, namun Jamaah Islamiyyah tetap dengan perjuangannya sekadar yang termampu dilakukan olehnya.

6. Jamaah yang tidak melupai wadah perjuangan yang bersifat keterbukaan yang boleh menyatukan para anggotanya pada prinsip dan dasar sekalipun mereka berbeza di dalam masalah furu’. Firman Allah Taala :
Maksudnya :

" Katakanlah, wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan di antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak sembah kecuali Allah dan kita tidak mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadi sebahagian yang lain sebagai tuhan melainkan Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka " Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerah diri (kepada) Allah."

7. Jamaah yang terdapat di kalangan anggotanya sifat-sifat Hizbullah. Di antara sifat-sifat itu ialah seperti berikut :

a) Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka.
b) Merendah diri sesama mukmin.
c) Bersikap tegas dengan orang-orang yang tidak mukmin.
d) Berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang
mencelanya.
e) Memberi kesetiaan kepada Allah, RasulNya dan para Mukmin.
f) Mendirikan solat.
g) Menunaikan zakat dan
h) Sentiasa ruku’ kepada Allah.




Sifat-sifat yang tersebut di atas itu selari dengan firman Allah Taala di dalam Al Qur’an : Maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah dari
agamanya (murtad), maka Allah akan mendatangkan pula satu kaum yang Allah kasihkan kepada mereka dan mereka juga kasih kepadaNya. Mereka bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas (gagah) terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka pula tidak takut pada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Ia kehendaki, kerana Allah amat luas limpah kurnianya lagi meliputi pengetahuanNya. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongNya (dapatlah ia kemenangan), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang."
Selain daripada itu Jamaah Islamiyyah adalah juga dianggotai oleh mereka yang memilliki sifat-sifat berikut :

a) Bertafakkur kepada kebesaran Allah dan kejadianNya. Allah Taala berfirman : Maksudnya:
’Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi itu ada tanda-tanda yang jelas bagi mereka yang berirnan"

b) Takut hanya kepada Allah, sebagaimana firman Allah Taala : Maksudnya:
"Bahawasanya orang-orang mukmin, apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka terasa takut."

c) Taat kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah Taala : Maksudnya :
" Dan taatilah kepada Allah dan Rasulnya jika sekiranya kamu beriman."

d) Kembali kepada hukum Allah dan RasulNya. Firman Allah Taala : Maksudnya:
" Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka hendaklah kembali kepada Allah (Al Qur’an) dan RasulNya (As-Sunnah jika sekiranya kamu masih beriman kepada Allah dan hari kemudian (Qiamat)."

e) Berkasih sayang kerana Allah dan benci-membenci juga kerana Allah. Sabda Rasulullah SAW. : Maksudnya:
" Sesungguhnya sekuat-kuat ikatan iman itu ialah kasih sayang kamu kerana Allah dan benci kamu kerana Allah."

f) Benar-benar bertawakkal kepada Allah. firmam Allah : Maksudnya :
" Kepada Allah sahajalah kamu bertawakkal sekiranya kamu beriman kepadanya."

g) Saling ingat mengingati di antara satu sama lain. firman Allah Taala : Maksudnya :
" Dan saling ingat mengingatilah kanu antara satu dengan yang lain, maka saling ingat
mengingatiiltu mendatangkan munafa’at kepada orang-orang mukmin."

h) Budi pekerti yang mulia. Sabda Rasulullah SAW. : Maksudnya:
" Orang mukmin yarag paling sempurna imannya ialah yang paling mulia pekertinya."

1) Bergembira apabila melakukan perkara taat dan berdukacita bila melakukan maksiat. Sabda Rasulullah SAW. : Maksudnya:
" Apabila kamu merasa gembira setelah melakukan kebaikan dan merasa berdukacita setelah melakukan keburukan maka itu tandanya kamu beriman."

9. Jamaah yang berjuang secara amali, tidak hanya teori semata-mata dan ia turun ke medan tidak hanya di tempat-tempat yang tertentu sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. : Maksudnya :

" Akan terus wujud segolongan ummatku yang berjuang di atas kebenaran dan berterus terang sehinggalah ke hari akhirat (qiamat)."

Berdasarkan kepada prinsip-prinsip gerakan Is lam seperti yang dibentangkan di atas, maka dapatlah kita membuat keputusan bahawa mana-mana gerakan Islam yang wujud mestilah mempunyai asas dan matlamat penubuhannya. Ia ditubuhkan di atas kesedaran sendiri, bukan di dorong oleh rasa tidak puas hati kepada gerakan Islam yang lain yang telah sedia ada.

Untuk lebih jelas dan yakin lagi, bahawa gerakan Islam mestilah mempunyali tujuan-tujuan sebagaimana berikut :

1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

2. Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Untuk merealisasikan semua tuntutan itu, Jamaah Islamiyyah mestilah mempunyai usaha-usaha seperti berikut :

1. Menyeru ummat manusia kepada syariat Allah dan sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkuatkan lagi Ukhuwwah Islamiyyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan~pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan hidup Islam.

5. Menyediakan rancangan~rancangan dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan ummat Islam dan rakyat seluruhnya.
6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan~persatuan, atau
pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan gerakan Islam bila mana dan selama mana ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan syariat Allah.

7. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmornian antara kaum di dalam negara ini.

Sebenarnya perkara-perkara yang dinyatakan sebagaimana di atas telah pun sedia wujud di dalam perlembangan Parti Islam SeMalaysia iaitu PAS di dalam bab yang ke tiga fasal lima dan fasal enam.

Kalau kita melihat dan meneliti dengan ftkiran yang terbuka dan menjauhkan dari mempunyai perasaan taasub terhadap mana-mana pertubuhan maka kita akan mendapati bahawa semua perkara itu telahpun dan sedang diusahakan walaupun PAS menghadapi berbagai-bagai rintangan dan gangguan. Oleh kerana itulah bagi saya tidak ada sebab mengapa perlunya ada Jamaah yang lain yang memperjuangkan perkara yang sama dan mempunyai matlamat yang sama. Masalah kelemahan adalah merupakan perkara biasa bagi mana-mana pertubuhan yang perlu bagi kita ialah jangan kita mudah berputus asa dan merasa lemah semangat bila menghadapi permasalahan.

GERAKAN ISLAM TUNTUTAN DAN PRINSIP....

Dunia Islam pada hari ini sedang menghadapi berbagai-bagai permasalahan yang mengongkongi segenap kehidupan orang-orang Islam. Permasalahan ini berpunca daripada kejahilan serta kelalaian ummat Islam sendiri terhadap agama yang mereka anuti itu. Akibat daripada itu maka timbullah berbagai-bagai fahaman assabiyyah dan sekular. Kepercayaan ini telah merosakkan asas aqidah ummat Islam sehinggalah mereka berpecah belah dan berhasad dengki di antara satu sama lain. Keadaan ini telah memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan atau melemahkan mereka semua sehingga mereka sudah tidak terdaya lagi untuk bangun menyuarakan kebenaran Islam. Kekuatan mereka menjadi lemah dan musuh-musuh Islam datang dari segenap penjuru menyerang mereka dan melakukan segala bentuk kekejaman terhadap umat Islam. Islam tidak merelakan semua ini terjadi dan melihat kaum muslimin menyerah kalah dan tunduk berlutut di hadapan musuh-musuh Allah dalam keadaan yang terhina dan memalukan.
Oleh kerana itu Islam telah mewajibkan kepada penganutnya supaya bangkit semula dari kejatuhan yang memalukan itu untuk terus berusaha, beramal dan berkorban apa sahaja untuk membela Islam yang suci ini. Mereka hendaklah terus berjihad pada jalan Allah untuk menegakkan agama Allah dan membangunkan semula Daulah Islamiyyah di atas muka bumi ini.
Banyak terdapat nas-nas yang mengandungi kewajipan meneruskan jihad dan berada di dalam Jamaah, di antaranya adalah sebagaimana berikut :

1 - Firman Allah Taala di dalam Al Qur’an : Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu ( pejuang-pejuang) kepada agama Allah sepertimana pernah diucapkan oleh Isa anak Maryam kepada pengikut-pengikutnya yang setia : Siapakah pembantu-pembantu aku ke jalan Allah, lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia: Kamilah pembantu-pembantu agama Allah : Maka berimanlah sebahagian daripada Bani Israel dan kufurlah sebahagiannya yang lain, maka Kami memberi pertolongan kepada golongan yang beriman lalu mereka menang dalam pertarungan menentang musuh mereka."

2 - Individu yang telah memilih untuk beramal di dalam Jamaah Islamiyyah wajib berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang mempunyai keimanan yang teguh terhadap amal jama’I dengan segala tuntutannya, sehingga tugas yang penting ini menjadi sebati serta dapat menguasai dirinya.

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman : Maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamu orang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolon gan."

3- Setiap individu yang telah menggabungkan dirinya dengan Jamaah Islamiyyah mestilah menyampaikan Islam kepada semua lapisan masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Mereka ini mesti memperkembangkan idea atau fikrah Islamiyyah kepada ummat manusia agar mereka itu mahu kembali menghayati Islam yang Syumul di dalam segenap kehidupan mereka. Kewajipan ini jelas sebagaiamana yang terdapat di dalam sabda Rasulullah S.A.W., antara lainnya Baginda telah bersabda : Maksudnya :
" Orang-orang yang hadir pada hari ini hendaklah meyampaikan kepada orang yang tidak hadir."

4 - Penerusan di dalam melaksanakan tuntutan yang maha suci ini adalah menjadi tanggunjawab terhadap ummat Islam seluruhnya. Penerusan ini terus wujud, walaupun golongan yang mengambil tanggungjawab ini ditindas dan ditekan dengan begitu hebat namun mereka terus mara sampailah kepada penghujungnya, iaitu golongan yang terakhir yang memerangi dajjal. Rasulullah S.A.W. telah bersabda, antara lainnya ialah : Maksudnya :
" Akan terus wujud segolongan dari kalangan ummatku yang terus berjuang secara berterus terang di atas jalan yang benar menentang mereka-mereka yang menyanggahinya, sehinggalah yang terakhir di kalangan mereka memerangi dajjal."

Khamis, 20 November 2008

KHULAFA' AR-RASYIDIN

Dalam artikel kali ini marilah sama2 kita kenali ataupun kita mengambil contoh dari kisah2 sahabat2 rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yg kemudiannya menjadi pemimpin selepas kemangkatan baginda,jd yg pertamanya ialah Abu Bakar as-Siddiq (b. Arab أبو بكر الصديق Abū Bakr al-Siddīq). Beliau ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Quhaafah.

Kehidupan Awal
Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. beliau seorang yang jujur,berbudi pekerti,adil,tegas dan memiliki sifat yang terpuji. dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran rasulullah S.A.W.


Menjadi Khalifah Pertama
Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.


Peperangan Islam-Riddah
Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.


Ekspedisi ke Utara
Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Syaidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.


Pengumpulan Al Quran
Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz Al Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat Al Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan Al Quran semasa beliau menjadi khalifah.


Kewafatan Saidina Abu Bakar As-Siddiq
Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru.

Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.


Sumbangan Saidina Abu Bakar
Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat Al Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.

Ahad, 9 November 2008

Hanya Islam agama yang benar

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah SWT ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (ali-‘Imran: 19)

Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat yang lalu menegaskan bahawa tiada tuhan, yakni tiada Penguasa yang memiliki dan mengatur seluruh alam kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Jika demikian, ketundukan dan ketaatan kepada-Nya adalah kepercayaan yang tidak boleh dibantah.

“Sehingga itu hanya keislaman yakni penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT yang diakui dan diterima di sisi-Nya. Agama atau ketaatan kepada-Nya merupakan alamat penyerahan diri secara mutlak kepada Allah SWT. Islam dalam erti penyerahan diri adalah hakikat yang ditetapkan Allah SWT dan diajarkan oleh para Nabi sejak dari Nabi Adam AS hinggalah Muhammad SAW”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-19 ali-‘Imran

Ibn Jarir meriwayatkan daripada Qatadah, katanya Islam ialah penyaksian bahawa Tuhan itu hanyalah Allah SWT dan mengakui segala yang datang adalah daripada Allah SWT.

Islam merupakan agama Allah SWT yang disyariat untuk diri-Nya. Oleh itu, Dia mengutus para Rasul dan para wali-Nya untuk membawa risalah Islam. Dia tidak akan menerima agama lain selain daripada Islam dan tidak berhajat menganugerahkan ganjaran di luar daripada agama (Islam).

Al-Qurtubi berkata: “Al-Din dalam ayat ini ialah ketaatan dan agama. Islam dengan makna iman dan taat”. Inilah juga pendapat Abu al-‘Aliah dan jumhur Mutakallimin.

Menurut Ibn Kathir ayat ini mengandungi peringatan dari Allah SWT bahawa tiada agama di sisi-Nya dan yang diterima-Nya dari seorang pun kecuali Islam iaitu mengikuti Rasul-Rasul yang diutus-Nya setiap saat hingga berakhir dengan Muhammad SAW. Dengan kehadiran beliau, telah tertutup semua jalan menuju Allah SWT kecuali jalan dari arah Baginda sehingga siapa yang menemui Allah SWT setelah diutusnya Muhammad SAW dengan menganut satu agama selain syariat yang beliau sampaikan, maka tidak diterima oleh-Nya.

Syeikh Al-Sya’rawi menyatakan bahawa Islam tidak terbatas hanya pada risalah Muhammad SAW sahaja. Sebenarnya Islam adalah ketaatan makhluk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam ajaran yang dibawa oleh para Rasul, yang didukung oleh mukjizat dan bukti-bukti yang meyakinkan.

Islam untuk ajaran para Nabi yang lalu merupakan sifat, sedang umat Nabi Muhammad SAW memiliki keistimewaan dari sisi kesinambungan sifat sekali gus menjadi tanda dan nama baginya. Ini kerana Allah SWT tidak lagi menurunkan agama selepas datang Nabi Muhammad SAW.

Selanjutnya Syeikh al-Sya’rawi mengemukakan bahawa nama (Muhammad SAW) ini telah ditetapkan jauh sebelum kehadirannya.

Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat di atas menegaskan bahawa mereka telah mengetahui kebenaran, namun demikian mereka bukan sahaja dikecam bahkan diancam dengan sedemikian rupa”.

Beragama bukan sekadar pengetahuan tetapi ketundukan dan ketaatan. Keberagamaan memerlukan buah sedangkan tumbuhan tidak akan berbuah jika tiada tanah yang subur merupakan kesucian hati. Bukankah air yang tercurah dari langit tidak menghasilkan buah tanpa ada tanah yang subur yang digarap?

Mereka yang berselisih kerana enggan menerima ajaran para Rasul, apa lagi setelah mereka ketahui adalah orang-orang kafir terhadap ayat-ayat Allah SWT dan barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah SWT maka Allah SWT akan menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Hukuman yang sangat cepat dan janganlah kamu menduga ia lambat kerana Allah SWT sangat cepat hisabnya.

Bagi mendapat penjelasan berkenaan dengan maksud iman, Islam, usuluddin dan akidah diterangkan di sini pengertiannya.

Pertama: Iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan.

Kata Ibnu Mandzur di dalam kitab Lisan al-Arab, “Ulama-ulama

bahasa Arab dan yang lainnya telah sepakat menyatakan bahawa pengertian iman adalah percaya dan membenarkan”.

Iman

Sementara iman dari segi istilah syarak pula adalah percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tentang segala ajaran agama yang mudah diketahui.

Kedua: Islam dari segi bahasa ialah penyerahan, pengakuan, kepatuhan dan meninggalkan sebarang bentuk penentangan dan keengganan.

Pengertian Islam dari segi syarak pula ialah pelaksanaan serta kepatuhan kepada segala ajaran agama yang mudah diketahui, yang dibawa oleh Rasulullah SAW atau terdapat dalil yakin yang mentafsirkan pengertian Islam sebagaimana hadis Jibril AS.

Ketiga: Akidah dari segi bahasa ialah sesuatu yang menambat hati seseorang. Daripada itu, pengertian tersebut digunakan sebagai anutan seseorang terhadap pemikiran dan pendapat yang diimaninya, dan meresap ke dalam hati sanubari yang akhirnya membentuk tindak-tanduk dan tingkah-lakunya.

Justeru ada pendapat yang mentakrifkan manusia sebagai makhluk yang boleh dipimpin dari dalam dirinya sendiri iaitu segala kepercayaan dan sesuatu yang diimaninya.

Menurut kamus Misbah al-Munir, perkataan aku beriktiqad demikian bermaksud aku menambat hati sanubari kepadanya, dan perkataan aqikah bermaksud sesuatu fahaman yang dianuti oleh seseorang sehingga dia mempunyai pegangan yang baik dan tidak diragui.

Pengertian akidah pada istilah pula ialah para ulama Islam menggunakan perkataan akidah ini sebagai ilmu yang lazimnya bermaksud ilmu yang membahaskan perkara yang wajib dipercayai dan diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan meyakinkan.

Akidah juga dinisbahkan kepada prinsip-prinsip agama itu sendiri yang thabit dengan dalil yang kukuh.

Keempat: Perkataan Usul ialah kata jamak daripada perkataan asal. Dari segi bahasa ia merupakan sesuatu yang di atasnya di bina sesuatu yang lain bersandar kepadanya. Disebut dalam kamus al-Misbah al-Munir asal bagi sesuatu ialah sesuatu yang menjadi dasarnya, sebagaimana asas bagi tembok.

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan keyakinan kita betapa agama yang sebenarnya di sisi Allah SWT ialah Islam adalah agama para Nabi dan Rasul.

Semoga kita sentiasa istiqamah dan memahami ajaran Islam serta menghayatinya hingga ke akhir usia. Amin.

Sabtu, 8 November 2008

HADITH...

Hadith atau hadis (bahasa Arab: الحديث hadīth mufrad, ahādīth "أحاديث" jamak); adalah tradisi-tradisi berkaitan kata-kata dan perbuatan bagi nabi Muhammad s.a.w.. Koleksi-koleksi hadis dianggap sebagai alat penting untuk menentukan Sunnah, atau cara hidup Islam, oleh semua sekolah-sekolah tradisional perundangan. Hadis dijadikan sumber hukum dalam Islam selain al-Quran, Ijma dan Qiyas.

Ada ramai ulama periwayat hadis, namun yang sering digunakan dalam fiqh Islam ada tujuh iaitu Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi, Imam Ahmad, Imam Nasa'i dan Imam Ibnu Majah. Kitab mereka ini dikenali sebagai Sahih al Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al Tirmizi, Musnad Imam Ahmad, Sunan al Nasa'ie dan Sunan Ibnu Majah.


Kedudukan Hadith Di Dalam Islam

Kedudukan hadith dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diragukan kerana terdapat penegasan yang banyak di dalam al Quran tentang hadith – di dalam al Quran disebut sebagai al Sunnah – malahan dalam banyak tempat hadith disebutkan selari dengan al Kitab ataupun al Quran. Di dalam al Quran juga disebutkan dengan ketaatan terhadap Rasulullah saw yang disebutkan bersama dengan ketaataan kepada Allah. Ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam al Quran di dalam firman Allah seperti ;

Maksudnya ; “Dan taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu adalah orang-orang yang beriman” (surah al Anfāl : ayat 1)

Maksudnya ; “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain bagi urusan mereka” (surah al Ahzāb : ayat 36)

Maksudnya ; “Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (surah al Hasyr : ayat 7)

Dengan penegasan al Quran di atas, jelaslah bahawa hadith tidak dapat dipisahkan penggunaannya di dalam segala hal yang berkaitan dengan Islam selari dengan al Quran.

Sesetengah pengarang menyebutkan mengenai 5 fungsi hadith yang utama – dalam sesetengah buku cuma disebut 4 – iaitu ;

Penguat dan penyokong kepada hukum-hukum yang terdapat di dalam al Quran seperti dalam perkara pengsyariatan sembahyang, puasa dan haji.
Penghurai dan pentafsir bagi ayat-ayat al Quran yang umum seperti memperjelaskan mengenai cara perlaksanaan sembahyang, kaedah jual beli, menunaikan zakat dan haji dan sebagainya yang mana perkara-perkara tersebut hanya disebutkan secara umum oleh al Quran.
Menjadi keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tiada di dalam al Quran seperti dalam hal memakan haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih seperti anjing yang mana buruan tersebut terdapat kesan dimakan oleh haiwan pemburu terlatih tadi dan kesan tersebut menunjukkan haiwan pemburu tadi menangkap buruan untuk dirinya sendiri. di dalam al Quran hanya dibenarkan memakan buruan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih. Maka dalam hal ini, hadith menerangkan bahawa buruan yang mempunyai kesan dimakan oleh haiwan pemburu adalah haram dimakan.
Menasakhkan hukum yang terdapat di dalam al Quran.Sesetengah ahl al Ra’y berpandangan bahawa hadith yang dapat menasakhkan hukum al Quran itu mestilah sekurang-kurangnya bertaraf Mutawatîr, Masyhûr ataupun Mustafhîdh.
Menerangkan mengenai ayat yang telah dinasakh dan ayat mana yang telah dimansukhkan.
Dalam menentukan fungsi-fungsi bagi hadith ini, para ulama bersepakat dalam menentukan fungsi pertama dan kedua tetapi mereka masih berselisih dalam menentukan fungsi ketiga, keempat dan kelima. Menurut ulama Hanafiyyah, hadith-hadith Mutawatîr dan Masyhûr boleh menasakhkan hukum al Quran manakala Imam Syafie sendiri menolak penasakhan itu.

Di dalam bidang ibadat, hadith memainkan peranannya dalam menghuraikan maksud ayat-ayat al Quran mengenai pengsyariatan sesuatu bentuk ibadat dengan lebih jelas. Tambahan pula, hadith juga memperincikan lagi masalah-masalah yang berhubung dengan pelaksanaan sesuatu ibadat sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.

Dalam bidang hukum atau undang-undang, hadith memperincikan hukuman-hukuman dan undang-undang yang terdapat di dalam al Quran seperti hukuman terhadap penzina. Hadith juga berbicara meliputi soal-soal yang berhubung dengan keadilan sosial, ekonomi dan politik. Hadith juga menerangkan mengenai hal-hal mengenai masalah-masalah perseorangan dan kekeluargaan seperti soal nikah, cerai dan talak. Begitu juga kita tidak menemui secara khusus tentang larangan al Quran terhadap amalan rasuah dan menyorok barang dagangan dan perkara-perkara ini diterangkan di dalam hadith.

Mengenai ilmu pengetahuan pula, tidak sedikit ilmu yang boleh kita korek dari hadith bagaikan satu dasar yang tidak diketahui kedalamannya sama ada ilmu sejarah – sejarah penciptaan alam dan bangsa-bangsa terdahulu -, ilmu nasab, ilmu sosiologi, bahasa, sastera, budaya dan banyak lagi. Tambahan pula, hadith juga menggalakkan manusia agar berusaha menuntut ilmu dan memperbaiki diri. Manakala dalam soal pembentukan akhlak pula, maka sememangnya pengutusan Rasulullah saw itu sendiri adalah untuk membentuk akhlak yang mulia.


Rujukan
Ismail Omar (1993), Manhaj Aqidah Ahli as-Sunnah wal Jamaah, Selangor : Access Infotech (M) SDN. BHD.
Mustafa ‘Abdul Rahman (1996), Hadith 40 : Terjemahan dan Syarahnya, Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar.
Shalih bin Fauzan bin Abdullah al Fauzan (2002), Kitab Tauhid jilid (1), Jakarta : Darul Haq.
Abdul Majid al Zindani (1996), al – Iman, Kuala Lumpur : al Hidayah Publishers.
Rosmawati binti Ali @ Mat Zin (1995). Hadis Āhād dalam akidah Islam : Tumpuan utama kepada hadis-hadis tentang Imam Mahdi. Tesis sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Abdullah al Qari Haji Salleh (t.t), Memahami Nilai Hadith dan Sunnah Nabi saw, Kelantan : Pustaka Asa Kenali.
Engku Ibrahim & Abdul Ghani Shamsuddin (1987), Kedudukan Hadith Dalam Islam, Kuala Lumpur : Persatuan Ulama Malaysia.
Ibrahim Muhammad bin Abdullah al Buraikan (1998), Pengantar Studi Aqidah Islam, Jakarta : Rabbani Press.
http://www.hadiths.eu
 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.