Pages

Rabu, 3 November 2010

Setelah lama.....


Lama sangat dah tak menjenguk rumah aku nie, masa kat SYARI' BATHOIHI lagi sampai dah ada kat TRI, hilang tumpuan sebentar.

Rutin harian yang berubah, masih dalam proses belajar lagi. Walaupun banyak perkara baru, ilmu baru, namun setiap sesuatu itu pasti ada harga dan nilainya. Yang penting ikhlaskan hati kerana Rabbi.

Sedar tak sedar dah hampir dua bulan dah kat Malaysia, mohon maaf pada semua yang masih ada perkara dan apa yang belum dilunaskan. Walaupun terlepas banyak XTVT yang tak sepatutnya dilepaskan, namun keadaan masa tidak mengizinkan.

Seronok tengok Kutub Sittah PMRAM tahun nie, tahniah pada PMRAM dan semua yang terlibat, cemburu lak rasanya....haha.... . tak lama lagi 'Eidul Adha akan menjelma, selepas itu ada jemputan hari penting seorang sahabat seperjuangan ku, moga masa mengizinkan aku memenuhi jemputannya. Selain tu ada jugak barang yang masih belum diserahkan pada Tuannya, insyaAllah aku akan cuba menyelesaikannya sebelum disember muncul.

Tarikh yang tertera pada tiket Egypt Air aku 22 Disember 2010, tapi.... ada tapi dan ada banyak perkara yang bermain dibenak fikiran aku. namun Kuliah Quran Tanta insyaAllah akan ku duduk juga, cuma.... nak jugak ada cuma kat situ, moga Allah memudahkan segalanya. Maslahah umum itu perlu dijaga dari maslahah diri sendiri, namun keduanya masih dalam kerangka mencari Redho Rabbi.

Sekarang musim banjir di negeri utara semenanjung, tengok dalam facebook Syeikh Ahmad 'Afif Zuhdi tag aku kat gambar Guruku Syeikh Muhammad 'Ali berada dihadapan rumahnya di Maahad Tarbiyah Derang yang turut tenggelam ( gambar diatas ) . Akhirnya aku terjumpa gambar tu kat laman Kedahlanie.blogspot . Baru ja hari tu aku parking motor dengan kawan aku masa hadir daurah kitab bersama fadhilah Al-Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki Hafizahullah. Moga Allah memberi ketenangan pada Guruku dan menambahkan kekuatan padanya. Sebelah rumah guruku rumah sahabat aku pulak... Moga Allah membalas sesuatu yang baik pada mereka diatas kesabaran mereka dan redha mereka dengan ujian Allah itu.

Sempat pula mengambil kesempatan dalam kesempitan, namun hati amat rindu Kota 1000 Menara.....

Isnin, 16 Ogos 2010

Memberi pinjaman kepada Allah


KAKITANGAN Permodalan Kelantan Berhad, Ruzaini Yaakub, menunjukkan mata wang Dinar Emas dan Dirham Perak pada majlis pelancaran di Kota Bharu, Kelantan.


Sebaik pulang dari rumah Nabi, Ali bin Abu Talib menemui isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: "Wahai wanita mulia, adakah kamu mempunyai makanan untuk suamimu?"

Fatimah menjawab: "Demi Allah, saya tidak mempunyai makanan sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain." Ali berkata: "Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan."

Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan. Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: "Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis. Ali pun bertanya: "Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?"

"Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa," kata Fatimah. Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."

Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu." Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: "Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini."

Ali berkata: "Saya tidak mempunyai wang." "Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa," kata Badwi itu. "Berapa harganya?" tanya Ali. "Tidak mahal, 100 dirham sahaja."

"Baiklah, saya beli," kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta. Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: "Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?" "Ya," jawab Ali.

"Berapa?" Tanya Badwi itu. "300 dirham," jawab Ali.

"Baiklah saya beli," kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: "Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?" "Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 10 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham," jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi tersenyum dan berkata: "Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?"

"Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah," kata Ali. "Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi menjelaskan: "Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham. Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."

Khamis, 12 Ogos 2010

Bilangan rakaat Tarawih.

Saban tahun apabila tiba sahaja kedatangan Ramadhan Al-Mubarak pasti akan berlakunya perbezaan pendapat berkenaan bilangan rakaat Solat Sunat Tarawih. Sesetengah pendapat yang agak keras menganggap pendapat mereka adalah yang lebih tepat, dan yang menjadi mangsa pada perbalahan ini ialah dikalangan masyarakat umum yang tidak dapat menentukan pendapat yang lebih sesuai dan tepat untuk diamalkan. Pendirian mereka juga sering menyalahkan pendapat Imam-imam mazhab serta ummat terdahulu yang telah beramal solat tarawih ini berdasarkan hadis Rasulallah dan perbuatan para sahabat r.a dan menyatakan bahawa perbuatan mereka adalah bida’ah dengan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah S.W.T dengan tidak membenarkan menambah lebih dari lapan rakaat ketika menunaikan solat sunat tarawih. Jadi untuk menjawab permasalahan ini mari sama-sama kita melihat pendapat ulamak yang saya datangkan secara ringkas berkenaan masalah tersebut.

Perbahasan Dari Segi Lughah ( Bahasa )
Tarawih merupakan jamak pada kata tarwihah yang bermaksud istirehat. Ibnu Manzhur berkata “Dinamakan demikian kerana beristirehat para jemaah setiap empat rakaat di antara dua kali salam, dikatatan sekali rehat”. Dari taarif ini menerangkan bahawa solat tarawih itu lebih rakaatnya dari lapan, kerana istilah tarwihah adalah empat rakat yang pertama. Jika dua kali tarwihah ( istirehat ) menjadikan solat tersebut hanya lapan rakaat sahaja, serta tidak sampai maksud jamak pada kalimah Tarawih, kerana di dalam kaedah bahasa arab jamak itu sesuatu yang lebih dari tiga dan keatas.

Kesimpulannya jumlah yang sebenar Solat Tarawih ialah 20 rakaat. Pendapat ini adalah mu’tamad bagi seluruh mazhab yang empat, iaitu Al-Hanafiah, Al-Malikiyyah, As-Syafieyyah, dan Al-Hanabilah. Di sana juga ada pendapat daripada Al-Malikiyyah yang menyatakan bahawa Solat Tarawih ini adalah 36 rakaat, tetapi pendapat ini tidak masyhur.

Di sini juga dapat disimpulkan bahawa pendapat yang menyatakan Solat Tarawih ini hanya lapan rakaat sahaja, mula timbul sejak kebelakangan ini sahaja. Perbezaan pendapat ini berlaku kerana kefahaman yang salah terhadap sunnah nabi S.A.W serta tidak mampu menggabungkan di antara hadis-hadis Rasulullah S.A.W, dan tidak faham bagaimana hendak menyatukan antara hadis Rasulullah serta perkataan dan perbuatan para sahabat jika berlaku perbezaan.

Pendapat Ulamak Beserta Dalil
Mazhab Syafi’e (Syafi’iyyah) mengistinbatkan bilangan rakaatnya seperti berikut:
1) Disebutkan di dalam Mukhtashar Al-Muzani:

أَنَّ اْلإِمَامَ الشَّافِعِيَّ رحمه الله قَالَ: رَأَيْتُهُمْ بِالْمَدِينَةِ يَقُومُونَ بِتِسْعٍ وَثَلاَثِينَ وَأَحَبَّ إِلَيَّ عِشْرُونَ لأَنَّهُ رُوِيَ عَنْ عُمَرَ وَكَذَلِكَ بِمَكَّةَ يَقُومُونَ عِشْرِينَ رَكْعَةً يُوتِرُونَ بِثَلاَثٍ.

“Sesungguhnya Imam Syafi’e berkata: Aku telah melihat mereka di Madinah mendirikan (Solat Tarawih) dengan 39 rakaat, dan aku menyukai 20 rakaat kerana telah diriwayatkan dari Saidina Umar. Dan begitu juga di Makkah, mereka mendirikan 20 rakaat dan mengerjakan Witir dengan 3 rakaat.”

2) Imam Nawawi berkata di dalam Syarh al-Muhazzab:

صَلاَةُ التَّرَاوِيحِ مِنَ النَّوَافِلِ الْمُؤَكَّدَةِ كَمَا دَلَّتْ عَلَى ذَلِكَ اْلأَحَادِيثُ الشَّرِيفَةُ الْمُتَقَدِّمَةُ وَهِيَ عِشْرُونَ رَكْعَةً مِنْ غَيْرِ صَلاَةِ الْوِتْرِ، وَمَعَ الْوِتْرِ تُصْبِحُ ثَلاَثًا وَعِشْرِينَ رَكْعَةً … عَلَى ذَلِكَ مَضَتِ السُّنَّةُ وَاتَّفَقَتِ اْلأُمَّةُ، سَلَفًا وَخَلَفًا مِنْ عَهْدِ الْخَلِيفَةِ الرَّاشِدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه وأرضاه – إِلىَ زَمَانِنَا هَذَا … لَمْ يُخَالِفْ فِي ذَلِكَ فَقِيهٌ مِنَ اْلاَئِمَّةِ اْلأَرْبعَةِ الْمُجْتَهِدِينَ إِلاَّ مَا رُوِىَ عَنْ إِمَامِ دَارِ الْهِجْرَةِ مَالِكٍ بْنِ أَنَسٍ رضي الله عنه اَلْقَوْلُ بِالزِّيَادَةِ فِيهَا، إِلىَ سِتٍّ وَثَلاَثِينَ رَكْعَةً…فِي الرِّوَايَةِ الثَّانِيَةِ عَنْهُ – مُحْتَجًّا بِعَمَلِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ فَقَدْ رُوِيَ عَن نَافِعٍ أَنَّهُ قَالَ: أَدْرَكْتُ النَّاسَ يَقُومُونَ رَمَضَانَ بِتِسْعٍ وَثَلاَثِينَ رَكْعَةً يُوتِرُونَ مِنْهَا بِثَلاَثٍ

“Solat Tarawih termasuk di dalam solat Nawafil yang muakkad seperti mana yang ditunjukkan perkara itu oleh hadith-hadith yang mulia yang telah disebut terdahulu. Ia adalah sebanyak dua puluh rakaat selain dari solat Witir. (Jika) bersama Witir maka ia menjadi 23 rakaat, atas jalan inilah berlalunya sunnah dan sepakat ummah, dari kalangan Salaf dan Khalaf dari zaman Khulafa’ ar-Rasyidin Umar ibn Al-Khattab, semoga Allah meredhainya dan dia meredhaiNya juga sampailah ke zaman kita ini. Tidak ada seorang pun fuqahak dari kalangan empat imam mazhab (Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah) membantah perkara ini, melainkan apa yang diriwayatkan dari Imam Dar al-Hijrah, Imam Malik bin Anas tentang pendapat yang lebih bilangannya pada solat Tarawih kepada 36 rakaat.

Dalam riwayat kedua daripada Imam Malik, iaitu dengan hujahnya beramal dengan amalan penduduk Madinah iaitu: Sesungguhnya diriwayatkan dari Nafi’ sesungguhnya dia berkata: Aku mendapati orang ramai mendiri Ramadhan (solat Tarawih) dengan 39 rakaat dan mereka mendirikan Witir daripadanya sebanyak 3 rakaat…”

Syaikh Muhammad Ali As-Shabuni menambah:

…أَمَّا الرِّوَايَةُ الْمَشْهُورَةُ عَنْهُ، هِيَ الَّتِي وَافَقَ فِيهَا الْجُمْهُورُ مِنَ الْحَنَفِيَّةِ وَالشَّافِعيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ عَلَى أَنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً وَعَلَى ذَلِكَ اتَّفَقَتِ الْمَذَاهِبُ اْلأَرْبعَةُ وَتَمَّ اْلإجْمَاعُ.

“Adapun riwayat yang masyhur daripada Imam Malik, iaitulah yang disepakati Jumhur ulama’ dari kalangan Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah atas solat Tarawih itu 20 rakaat. (Oleh itu) atas sebab perkara itulah (iaitu riwayat yang kedua ini), maka jadilah (solat Tarawih sebanyak 20 rakaat) adalah sepakat empat mazhab dan lengkaplah (ia menjadi) ijma’.”

3) Imam Nawawi juga menyebutkan di dalam Al-Majmu’:

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً بِعَشْرِ تَسْلِيمَاتٍ غَيْرِ الْوِتْرِ وَذَلِكَ خَمْسُ تَرْوِيحَاتٍ وَالتَّرْوِيحَةُ أَرْبَعُ رَكَعَاتٍ بِتَسْلِيمَتَيْنِ… وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَصْحَابُهُ وَأَحْمَدُ وَدَاوُدُ وَغَيرُهُمْ وَنَقَلَهُ الْقَاضِيُّ عِيَاضٍ عَن جُمْهُورِ الْعُلَمَاءِ. وَقَالَ مَالِكٌ: اَلتَّرَاوِيحُ تِسْعُ تَرْوِيحَاتٍ وَهِيَ سِتَّةٌ وَثَلاَثِينَ رَكْعَةً غَيْرُ الْوِتْرِ

“Mazhab kami sesungguhnya Solat Tarawih 20 rakaat dengan 10 salam selain Witir. Jadi ada 5 rehat, dan setiap sekali rehat ada 4 rakaat dengan 2 salam. Dan mengikut juga pendapat inilah (iaitu 20 rakaat) oleh Abu Hanifah dan rakan-rakannya, Ahmad, Daud (azh-Zahiri) dan selain dari mereka. Al-Qadhi ‘Iyadh juga menukilkannya dari jumhur Ulama’. Imam Malik berkata: Sholat Tarawih ada 9 rehat iaitu 36 rakaat selain dari Witir.”

4) Imam al-Khatib Syarbini menyebutkan:

اَلتَّرَاوِيحُ عِشْرُونَ رَكْعَةً بِعَشَرِ تَسْلِيمَاتٍ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضَانَ لِمَا رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ أَنَّهُمْ كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً.

“Dan Tarawih itu 20 rakaat dengan 10 salam setiap bulan Ramadhan. Demikiannlah hadis Al-Baihaqi dengan sanad yang shahih bahawasanya sahabat-sahabat Nabi S.A.W mendirikan sembahyang pada masa Umar bin Al-Khattab dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. Dan Imam Malik meriwayatkan di dalam Al-Muwaththo’ sebanyak 23 rakaat, tetapi Imam Al-Baihaqi mengatakan bahawa yang tiga rakaat yang akhir ialah Sembahyang Witir.”

5) Imam Jalal ad-Din al-Mahalli berkata:

وَرَوَى الْبَيْهَقِيُّ وَغَيْرُهُ بِاْلإِسْنَادِ الصَّحِيحِ كَمَا قَالَ فِي شَرْحِ الْمُهَذَّبِ أَنَّهُمْ كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً

“Dan Imam Al-Baihaqi dan selainnya meriwayatkan dengan sanad yang shahih seperti yang dikatakan di dalam Syarah al-Muhazzab bahawasanya para sahabat mendirikan sholat Tarawih pada zaman Umar bin Al-Khattab pada bulan Ramadhan dengan dua puluh rakaat.”

6) Al-Allamah al-Imam Ar-Ramli berkata:

وَهِيَ عِشْرُونَ رَكْعَةً بِعَشْرِ تَسْلِيمَاتٍ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضَانَ، لِمَا رُوِيَ أَنَّهُمْ كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً

“Dan ia (Sholat Tarawih) adalah 20 rakaat dengan 10 salam pada setiap malam dari malam-malam bulan Ramadhan kerana diriwayatkan bahawasanya para sahabat mendirikan sholat Tarawih pada zaman Umar bin Al-Khattab pada bulan Ramadhan dengan dua puluh rakaat.”

7) Imam Zainuddin bin Abd al-Aziz al-Malibari dalam kitab Fath al-Mu’in menyimpulkan bahawa solat Tarawih hukumnya sunat yang jumlahnya 20 rakaat:

وَصَلاَةُ التَّرَاوِيحِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ وَهِيَ عِشْرُونَ رَكْعَةً بِعَشْرِ تَسْلِيمَاتٍ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ لِخَبَرٍ (( مَن قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاِحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِهِ )) وَيَجِبُ التَّسْلِيمُ مِن كُلِّ رَكْعَتَيْن فَلَوْ صَلَّى أَرْبَعًا مِنْهَا بِتَسْلِيمَةٍ لَمْ تَصِحُّ.

“Solat Tarawih hukumnya sunat, 20 rakaat dan 10 salam pada setiap malam di bulan Ramadhan. Kerana ada hadith: Barang siapa melaksanakan (sholat Tarawih) di malam Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala, maka dosanya yang terdahulu diampuni. Setiap dua rakaat harus salam. Jika sholat Tarawih 4 rakaat dengan satu kali salam maka hukumnya tidak sah……”


8) Syaikh Abd al-Qadir ar-Rahbawi menyebutkan di dalam kitabnya As-Solah ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah:

وَعَدَدُ رَكْعِتِهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً. وَهَذَا الَّذِي بَيَّنَهُ عُمَرُ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله بِفِعْلِهِ عِندَمَا جَمَعَ النَّاسَ أَخِيرًا فِي الْمَسْجِدِ، وَصَلاَتِهِمْ خَلْفَ إِمَامٍ وَاحِدٍ، وَوَافَقَهُ الصَّحَابَةُ عَلَى ذَلِكَ وَلَمْ يَكُن لَهُمْ مُخَالِفٌ مِمَّن بَعْدَهُمْ مِنَ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ…

“Dan bilangan rakaatnya (Sholat Tarawih) 20 rakaat. Dan inilah yang diterangkan oleh Sayyiduna Umar bin Al-Khattab dengan perbuatannya ketika mengumpulkan para sahabat akhirnya dalam masjid. Dan (menyuruh) mereka bersembahyang di belakang seorang imam. Para sahabat bersetuju atas perbuatannya itu dan tidak ada seorangpun Khalifah yang datang selepas mereka (selepas sahabat) yang menyalahkan mereka (Umar dan generasi sahabat yang melakukan 20 rakaat).”[29]


9) Di dalam kitab Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah disebutkan:

وَقَدْ ثَبَّتَ أَنَّ صَلاَةَ التَّرَاوِيحِ عِشْرُونَ رَكْعَةً سِوَى الْوِتْرِ

“Dan sesungguhnya telah tetaplah (thabit) bahawa Sholat Tarawih adalah 20 rakaat (menurut semua imam mazhab) selain Witir.

10) Disebutkan di dalam kitab Al-Hady an-Nabawi ash-Shahih fi Solah at-Tarawih karangan Syaikh Muhammad Ali al-Shabuni:

قَالَ اْلإِمَامُ التِّرْمِذِي فِي جَامِعِهِ اَلْمُسَمَّى سُنَنِ التِّرْمِذِي: أَكْثَرَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى مَا رُويَ عَنْ عُمَرَ، وَعَلِيٍّ وَغَيْرِهِمَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم: عِشْرِينَ رَكْعَةً وَهُوَ قَوْلُ سُفْيَانَ الثَّوْرِي وَإِبْنِ الْمُبَارَكَ وَالشَّافِعِيّ وَقَالَ الشَّافِعِي : وَهَكَذَا أَدْرَكْتُ النَّاسَ بِمَكَّةَ يُصَلُّونَ عِشْرِينَ رَكْعَةً . أهـ.

“Al-Imam At-Tirmizi berkata di dalam kitab Jami’nya yang bernama Sunan at-Tirmizi: Kebanyakan Ahl al-Ilm di atas pendapat seperti yang diriwayatkan dari Sayyidina Umar, Sayyiduna Ali dan selain keduanya dari para sahabat Nabi iaitu (mendirikan sholat Tarawih sebanyak) 20 rakaat. Ia adalah pendapat Sufyan ath-Thauri, Ibn Al-Mubarak, Syafi’e. Imam Syafi’e berkata: Dan beginilah aku mendapati orang ramai di Makkah mereka mendirikan (solat Tarawih dengan ) 20 rakaat.”

Ibn Rusyd menyebut di dalam Bidayah al-Mujtahid:

اِخْتَارَ مَالِكٌ – فِي أَحَدِ قَوْلَيْهِ – وَأَبُو حَنِيفَةَ وَالشَّافِعِي وَأَحْمَدُ اَلْقِيَامُ
بِعِشْرِينَ رَكْعَةً سِوَى الْوِتْرِ.

“Imam Malik telah memilih –dalam salah satu di antara dua pendapatnya-,
juga Abu Hanifah, Syafi’e, Ahmad dengan 20 rakaat selain Witir.”

Seterusnya Syaikh Muhammad Ali As-Shabuni menyebutkan:
“Bahawa kedua Haramaian (Masjidil Haram dan Masjid Nabawi) juga menjadi panduan dan ikutan kita dalam perkara Solat Tarawih 20 rakaat ini yang mana kedua-dua masjid suci ini mendirikan Solat Tarawih dengan 20 rakaat sejak zaman dahulu lagi sehingga sekarang.”

Kesimpulan
Daripada pendapat yang mampu saya lampirkan ini, kita melihat bahawa seluruh para ulamak salaf dan khalaf bersepakat bahawa Solat Tarawih itu adalah 20 rakaat, dan ia adalah sunat muakkad semata-mata tidak sampai hukumnya ke tahap wajib. Sesiapa yang meninggalkanya, maka hilang padanya ganjaran pahala yang besar dibulan Ramdhan yang mulia ini. Perbincangan ini juga jauh sekali hendak menyatakan bahawa mereka yang mengerjakan solat lapan rakaat itu salah, tetapi ingin menerangkan bahawa Solat Tarawih yang sebenar adalah 20 rakaat, dan selain pada jumlah tersebut kurang tepat untuk kita labelkan ia sebagai solat tarawih yang sebenar berdasarkan pendapat-pendapat ulamak yang telah saya nyatakan sebentar tadi. Waallahuaalam.

Mohamad Hanif Haron
Pengerusi Felo MANHAL,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


Sumber : http://pmram-manhal.blogspot.com/

Sabtu, 24 Julai 2010

Makluman

Makluman kepada semua ahli KPIPM, AJK Khas Pilihanraya KPIPM 09/10 akan membuka pencalonan untuk AJK Tadbir & AJK HEWI KPIPM sesi 2010/2011. Kepada sesiapa yang berminat sila teliti makluman dibawah






Untuk keterangan lanjut dan sebarang makluman terkini anda boleh lawati Blog Rasmi SPR KPIPM 2010/2011 di http://sprkpipm2010.blogspot.com/

Ahad, 16 Mei 2010

Biawak dan tuannya


Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam kitab al-Bidayah Wa al-Nihayah bahawa al-Imam al-Baihaqi menceritakan dari Abi Mansur Ahmad bin Ali Ad-Damghaniy dari daerah Namin di Baihaq,dalam sebuah kisah yang disampaikan dari Umar R.anhu.

"Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Alihi Wasallam sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat,tiba-tiba datang seorang arab badwi dari Bani Sulaim kehadapan Rasulullah. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan itu,beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata "Demi tuhan Lata dan Uzza,tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa,tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam,putih dan merah serta selainnya.!”

Umar Al-Khattab menjadi marah,lalu bangkit dan berkata “Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”

Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar: “Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi?”

Nabi kemudiannya berkata kepada arab badwi itu “Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”

Arab badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata “Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu, “ katanya sambil mengeluarkan biawak itu lalu melemparkannya kehadapan Nabi SAW.

Nabi SAW memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir “Ya wahai Nabi SAW.”

Nabi bertanya “Kepada siapakah engkau beriman?”. Jawab biawak itu “Saya beriman kepada tuhan yang dilangit itu 'arasyNya,dibumi itulah kekuasaanNya,dan dilautan itulah jalanNya dan disyurga itu rahmatNya dan dalam neraka itu azabNya”

Tanya Nabi lagi “aku ini siapa wahai biawak?”. Jawab si biawak “Tuan adalah utusan Allah,yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan,dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”

Mendengar kata-kata biawak itu,arab badwi itu lantas berkata “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci,tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri,engkau amatku kasihi zahirku dan batinku.” Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah dihadapan semua yang hadir.

Ulasan : Pengajaran yang boleh diambil dalam kisah ini ialah bagaimana seekor biawak (dhob) telah beriman kepada Allah SWT.bahkan menyokong perjuangan Nabi Sallallahu 'Alaihi wa Alihi Wasallam. Sedangkan manusia yang telah dianugrahkan aqal masih lagi ramai yang tidak beriman kepada Allah SWT. Bahkan masih ramai yang menidakkan perjuangan untuk mendaulatkan syariat islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Alihi Wasallam. Sekurang-kurangnya malulah wahai manusia yang menolak dan mendustakan perjuangan Rasulullah dengan seekor binatang yang bernama biawak ini.

( Kisah ini diceduk dalam majalah Solusi bilangan 1,yang bertajuk "kerana rezeki, masuk neraka!..)


 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.