Pages

Isnin, 27 April 2009

Penemuan terkini.....

Pijat tidak berbahaya

JEROME GODDARD, pakar entomologi dari Universiti Mississippi membuktikan bahawa isu serangga katil atau pijat memuncak apabila laporan kepada jabatan kesihatan dan tindakan undang-undang terhadap hotel-hotel di Amerika Syarikat meningkat.


Malah, ramai yang tidak sedar digigit serangga itu dan tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tetapi sesetengah lagi membengkak dan gatal di tempat gigitan. Ada juga yang memberi reaksi alergi seperti serangan asma.

Jelasnya, kehadiran serangga ini tiada kaitan dengan kebersihan atau sanitasi. Ia adalah berkenaan pergerakan manusia.

EKSTRA: Pijat paling aktif menjelang subuh atau beberapa jam sebelum matahari terbit. Ia memanjat dinding ke siling dan melompat ke bawah setelah mengesan kehadiran gelombang haba dan gas karbon dioksida.

*** Inilah penangan makcik pijat,walaupun kecil namun mampu untuk menggugat dunia, bersabarlah buat mangsa-mangsa pijat....hehehe...

Sumber: Harian Kosmo 27 April 2009

Sabtu, 25 April 2009

Kembalilah kepada Al-Quran


Mari kita sama-sama menyemak hubungan kita masing –masing dengan al-Quran. Orang yang paling banyak mencedok hidayah Allah SWT dari sumbernya iaitu al-Quran, dialah orang yang takwanya diiktiraf oleh Allah SWT.

Perlu diingat takwa itu bukan sekadar slogan-slogan sahaja tetapi ia perlu kita buktikan. Firman Allah SWT bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertakwa.” - Al Baqarah: 2

Tulisan saya hari ini tidak bercadang untuk merumitkan lagi pemikiran umat Islam dengan memanjangkan lagi perbincangan mengenai hukum orang kafir membaca al-Quran kerana kita telah maklum dan membaca serta mengikuti banyak pandangan mengenainya dari berbagai pihak dengan hujah masing-masing.

Malah ada di kalangan kita yang ghairah membaca isu ini dari berbagai-bagai surat khabar dan laman sesawang sehingga lebih banyak helaian yang dibaca, lebih masa menghadap internet daripada helaian al-Quran dan jangka masa yang kita habiskan lebih lama dari masa yang kita peruntukan untuk kita membaca al-Quran itu sendiri.

Tulisan hari ini tidak bercadang membincangkan hukum orang kafir membaca al-Quran tetapi saya ingin mengajak pembaca sekalian melihat hukum orang Islam yang tidak mahu membaca al-Quran, tidak mahu mendengar al-Quran, tidak mahu tunduk dengan hukum hakam al-Quran dan tidak mahu mengamalkan al-Quran.

Saya menegaskan dengan setegas-tegasnya, setiap orang Islam
undefined wajib membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepada mu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan. - Al Ankabut: 45

Firman Allah SWT, bermaksud: “Dan Aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepada Nya), dan supaya Aku sentiasa membaca al-Quran”. oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri.” - An Naml: 91-92

Firman Allah SWT, bermaksud: “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” - Surah Toha: 123

Firman Allah SWT, bermaksud: ”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Ia berkata: “Wahai Tuhan ku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepada mu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” - Surah Toha: 124-127

Malangnya hari ini, umat Islam terkejut dan terkedu apabila melihat orang kafir membaca al-Quran sedangkan tawaran kepada umat Islam sendiri dibiarkan begitu sahaja.

Rasulullah saw bersabda, bermaksud: “Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama dengan para Nabi dan Rasul sedangkan orang yang membaca al-Quran secara “merangkak-rangkak” ketika membacanya, baginya dua pahala.” - 6670 sahih Al Jami.’

Umat Islam masih tersipu-sipu malu untuk membaca al-Quran walaupun ganjarannya begitu lumayan sekali.

Rasulullah saw bersabda, bermaksud: “Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, baginya satu pahala, satu pahala akan digandakan dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif laam miim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” - 2910 sunan Tirmizi.

Malang sekali umat Islam sudah jauh berpaling dari mendekati al-Quran. Golongan dewasa begitu sibuk dengan mencari kehidupan dan harta, tekun mengikuti turun naik saham dan berita sensasi di media massa sehingga tidak sempat membaca al-Quran apatah lagi memahaminya, maka kehidupan pun jauhlah dari panduan al-Quran.

Golongan remaja pula sibuk mengikuti perkembangan gosip artis, ahli sukan, perkembangan terbaru telefon bimbit dan dunia keremajaan. Sanggup bersengkang mata sehingga jauh malam untuk menonton perlawanan bola sepak tanpa menjeling pun kepada naskhah al-Quran yang sangat rindu untuk didakap dibuka dan dibaca.

Pelajaran al-Quran diletakkan di hujung-hujung silibus pengajian formal ataupun tidak formal. Malah ada cadangan al-quran dibaca dengan tulisan rumi walaupun Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada persidangannya ke-24 pada tahun 1989 memutuskan bahawa haram menulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran, semata-mata untuk mengejar matlamat agar setiap anak-anak khatam juga al-Quran 30 juzuk’ secara kosmetik sahaja walaupun dengan membacanya dengan tulisan rumi.

Marilah kita kembali kepada al-Quran!

Sumber:Sinar Harian Online 17 April 2009

Ahad, 19 April 2009

Adab - Adab Seorang Penuntut Ilmu




Adab-adab seorang murid terhadap gurunya iaitu:

1. Apabila menemui gurunya maka hendaklah ia memberi salam kepadanya terlebih dahulu
2. Jgn membanyakkan bercakap-cakap di hadapan gurunya
3. Jangan ia bercakap-cakap sebelum gurunya bertanya kepadanya.
4. Jangan ia bertanya kepada gurunya sebelum ia meminta izin.
5. Jangan ia menyangkal (menunjukkan rasa tidak puas hati) terhadap perkataan
gurunya seperti ia berkata sipulan itu menyalahi akan yang engkau kata itu.
6. Jangan ia mengisyaratkan kepada gurunya dengan menyalahi pendapatnya maka ia menyangka bahawa ia lebih mengetahui daripada gurunya.
7. Jangan ia berbisik dengan orang yang duduk ditepinya ketika gurunya memberikan pelajaran.
8. Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan di hadapan gurunya tetapi hendaklah ia menundukkan kepalanya dengan penuh tenang lagi beradab seolah-olah dia sedang sembahyang.
9. Jangan ia membanyakkan soalan kepada gurunya ketika ia letih.
10. Apabila gurunya berdiri hendaklah ia berdiri untuk menghormatinya.
11. Jangan mengikuti gurunya dengan perkataan atau soalan ketika ia bangkit dari majlisnya.
12. Jangan bertanya kepada gurunya di tengah jalan sehingga ia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya.
13. Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila ia melihat gurunya mengerjakan sesuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya (bukan menyalahi agama) maka gurunya itu adalah lebih mengetahui dengan rahsia segala perbuatannya dalam hal ini hedaklah ia mengingati akan perkataan nabi Musa A.S. bagi Nabi Khidhir A.S. seperti yang disebutkan dalam Al-Quran Surah Al-Kahfi ayat 71 yang maksudnya:

"Berkata (Nabi Musa kepada Nabi Khidhir): Apakah engkau rosakkan kapal ini untuk engkau menenggelamkan semua penumpangnya. Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar."

Maka hendaklah ia mengingati bahawa sebenarnya dia yang tersalah pada keingkaran itu. Kerana ia hanya memandang hukum yang zahir pada sisinya sahaja.

Cintailah ilmu terutamanya ilmu akhirat, atau sekurang2nya cintailah orang yang cintakan ilmu agama dan janganlah berburuk sangka dgn mereka. Sesungguhnya apa yg mereka buat adalah antara mereka dgn Allah, apa yg penting adakah kita sendiri sudah amat hampir dgn Allah lebih dari para ustaz/ustazah/ulama ?

Sesungguhnya bala paling besar utk seseorang manusia itu ialah apabila Allah tutup mata hati daripada menerima petunjuk dan hidayah Allah, dan akhirnya semakin jauh daripada Allah. Saya mohon pembaca agar mendo'akan saya dan semua pembaca supaya sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan dilindungi dari kemurkaanNya.


Wallahhu'alam.

Soalan Lazim....



SOALAN DARI BUKAN ISLAM UNTUK ORANG ISLAM, TENTANG AGAMA ISLAM...

Sewaktu Nabi Muhammad saw wafat, telah disempurnakan agamamu (Islam). Semua persoalan akan ada jawapannya, hanya ilmu di dada penentu jawapan apa yang perlu diberi.

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?
Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali.
Mengapa?
Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memapaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2) Nama Nabi Isa disebut lagi banyak dari nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran, tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?
Soalan sebaliknya, dalam Bible, nama syaitan lebih banyak dari nama Nabi Isa, jadi siapa lagi hebat? Syaitan @ Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan nabi dan rasulNya. Walaubagaimanapun, Allah Maha mengetahuinya.

3) Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja nabi Isa itu Tuhan kan?
Dalam banyak2 kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa).. Sedangkan, dalam Bible juga yang ade menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata "siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka.

4) Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, di akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir?
Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya.
Perumpamaan : Jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulong masih hidup, hakikat yang tidak akan berubah ialah anak sulong tetap sulong.

5) Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.
Kita jawab seperti ini, antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak sembah Mariam je? Kan Mariam ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga merupakan manusia pertama, kenapa tidak disembah Adam sahaja? Jawapan lengkap ada dalam Surah Imran, ayat 59.

6) Jika baca tafsir, Allah berfirman sekejap guna 'Aku', sekejap guna 'Kami' Kenapa? 'Kami' kan lambang 'Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)' ?
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, 'aku' kata jamaknya 'kami' yang menggambarkan tentang 'Allah dan keagunganNya' . Tengok sahaja Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna 'We' bukan 'I'.

7) Orang Sikh Punjabi bertanya, kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah tuhan yang perlu disimpan?
Kita jawab dengan soalan ini, kuku juga anugerah tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?

8) Sami Budha vegetarian bertanya, kenapa Islam suruh bunuh binatang untuk dimakan? Kan zalim kerana bunuh hidupan bernyawa?
Sains telah buktikan, sayur dan pokok turut ade nyawa.. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ade banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Bila kita bunuh (sembelih sebenarnya) 1 ekor lembu, sebenarnya kita telah selamatkan bayak nyawa manusia.

9) Sami Budha menjawab " Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria, bunuh binatang dosa besar.
Kita jawab seperti ini, habis tu, kita Cuma berdosa kecil je la jika bunuh orang yang pekak, buta, bisu hanya kerana dia tidak ade deria?

10) Sami Budha menjawab lagi "Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik
"Kita jawab lagi "habis tu, awak makan lah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus"

11) Sami Budha berkata lagi "makan binatang akan dapat banyak penyakit
Kita jawab "Penyakit datang kerana kita makan banyak. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran.. Alah, tembakau dan dadah pun dari tumbuhan juga kan? Lagi besar penyakitnya kan? Lembu yang ragut rumput hari2 pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kesah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi jangan lah cakap haram apa yang telah Allah halalkan untuk kita.

12) Kan babi itu ciptaan Allah, kenapa Islam tak makan babi?
Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan.

13) Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari2 sembah Kaabah.
Islam bukan sembah Kaabah, tapi Kaabah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Kaabah akan masuk neraka kerana Islam Sembah Allah, kaabah Cuma kiblat. Perlu tahu bezakan. Bukti, orang yg sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindi tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari2 pijak gambar Kaabah (sejadah). Jika ada gambar Kaabah diletak di KLCC, orang Islam tetap solat menghadap Kaabah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah... Bukan sembah Kaabah!

14) Kenapa perlu ikut nabi Muhammad saw kerana nabi dan rasul sebelum baginda kan betul2 juga?
Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.

Soalan2 yg nyatakan di atas, sebenarnya memang benar2 di tanya oleh orang bukan Islam secara spontan pada orang Islam... mereka bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak membuatkan orang Islam yg ilmu hanya ala kadar berasa was2 dengan Islam dan akhirnya orang Islam akan berasa was2 dengan agama yang dianutinya. Jadi jawapan yg disampaikanpun tak perlu panjang2 cukup sekadar ringkas dan padat. Saya hanya menyampaikan sahaja. Segala kekurang dan salah silap harap diperbetul dan dimaafkan... Wallahu'alam.

Khamis, 9 April 2009

Surat Tuan Guru Nik Abd Aziz....

13 Rabiul Akhir 1430

9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS
 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.