Pages

Sabtu, 31 Oktober 2009

Islam perjuangkan kebebasan manusia

Oleh: SYEIKH DR. YUSUF AL-QARDHAWI


APAKAH pendirian Islam mengenai kebebasan? Wujud sesetengah golongan yang menganggap agama menentang kebebasan, jadi apakah kebebasan yang dibawa oleh Islam dan setakat mana had dan sempadan kebebasan tersebut?

Islam mengiktiraf kebebasan semenjak kemunculannya di muka bumi ini. Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab dalam ucapannya yang masyhur berkata: “Apabila kamu memperhambakan manusia maka sesungguhnya mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas (merdeka).”

Seorang lagi khalifah Islam terkenal, Saidina Ali Abi Talib dalam wasiatnya berkata: “Dan janganlah kamu menjadi hamba kepada orang lain. Sesungguhnya kamu diciptakan oleh Allah s.w.t. dalam keadaan bebas.”

Manusia, menurut hukum ciptaan Allah s.w.t. dan tabiat semula jadi kelahiran mereka adalah makhluk yang bebas. Mereka mempunyai hak kebebasan dan bukannya hamba. Islam datang dan mengiktiraf kebebasan pada zaman manusia diperhambakan dari segenap segi sama ada politik, sosial, pegangan agama atau ekonomi.

Apabila Islam datang, ia mengiktiraf kebebasan akidah dan pegangan, pemikiran serta kebebasan bersuara. Selain itu, Islam turut membawa suatu kebebasan yang paling utama iaitu kebebasan beragama.

Ajaran suci ini tidak sekali-kali membenarkan tindakan memaksa manusia untuk menganutinya atau memeluk mana-mana agama selain Islam. Ini dinyatakan Allah s.w.t. dalam surah Yunus, ayat 99, maksudnya: “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?”

Ayat ini diturunkan pada zaman Makki (ayat-ayat yang diturunkan sebelum Hijrah). Bagi zaman Madani pula, Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 256, maksudnya: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”

Sebab di sebalik turunnya ayat ini menjelaskan kepada kita sejauh mana Islam memulia dan mengagungkan serta mendukung erti kebebasan sebenar. Pada zaman Jahiliah, wanita daripada kaum Aus dan Khazraj yang hamil bernazar menjadikan anak yang bakal lahir, sekiranya lelaki, sebagai seorang Yahudi. Dengan cara inilah berkembangnya anak-anak yang beragama Yahudi hidup dalam dua kabilah Arab, Aus dan Khazraj.

Apabila Islam datang dan memuliakan umat Arab dengan agama suci itu, sesetengah ibu bapa berhasrat untuk mengembalikan anak-anak mereka yang beragama Yahudi kepada agama Islam yang menjadi agama mereka dan agama umat pada masa itu.

Bagaimanapun, ajaran Islam tidak membenarkan tindakan memaksa seseorang supaya keluar atau masuk agama biar pun ia adalah agama Islam.

Ini yang dimaksudkan dengan firman Allah: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam).” Islam tetap bertegas dalam hal ini walaupun pada waktu itu berlaku pertelingkahan, malah peperangan antara Islam dan Yahudi.

Bagaimanapun, dasar bebas yang diiktiraf oleh Islam tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan bagi mengelakkan agama menjadi `alat mainan’ di tangan manusia.

Ini terbukti dalam firman Allah s.w.t. yang menceritakan tentang kata-kata bangsa Yahudi dalam surah Ali Imran, ayat 72, maksudnya: “Segolongan (lain) daripada Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya): `Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran).”

Allah s.w.t. menghendaki supaya agama tidak dijadikan sebagai `permainan.’ Maka, sesiapa yang memeluk Islam setelah yakin dan dalam keadaan sedar wajib terus menganutinya, jika tidak ia terdedah kepada hukuman sebagai seorang murtad. Maka, kebebasan pertama yang dibawa oleh Islam ialah kebebasan beragama dan iktikad.

Kebebasan kedua yang dibawa oleh Islam ialah kebebasan berfikir. Islam datang dengan menyeru manusia supaya berfikir dan memerhatikan kejadian dan ciptaan yang terdapat di alam ini. Banyak nas al-Quran yang menyeru manusia ke arah berfikir, antaranya:

Ayat 101, surah Yunus, maksudnya: “Katakanlah; perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.”

Ayat 46, surah al-Haj, maksudnya: “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.”

Selain itu, Islam turut menjalankan `kempen’ yang meluas bagi menarik mereka yang hanya menurut prasangka dan syak wasangka, mengikut nafsu, bertaklid kepada ibu bapa dan datuk moyang mereka kepada kebebasan berfikir serta penggunaan akal dan fikiran dalam mencari kebenaran.

Dalam pada itu, dalil-dalil akal dijadikan sandaran dalam usaha mengukuhkan kebenaran akidah-akidah Islam. Lantaran itu, ulama berkata: “Sesungguhnya akal yang terang adalah asas kepada nas-nas naqli yang benar.” Misalnya, kes kewujudan Allah dan kenabian Muhammad s.a.w. pada peringkat permulaannya dibenarkan oleh akal sebelum dalil-dalil naqli mengukuhkannya. Inilah penghormatan yang diberikan oleh Islam kepada kebebasan berfikir dan penggunaan akal fikiran.

Ekoran kebebasan berfikir yang diberikan oleh Islam, maka kita dapat lihat wujudnya fenomena kebebasan dalam perbincangan ilmiah. Ini terbukti dengan munculnya ulama-ulama yang mempunyai perbezaan pendapat, menerima, menolak dan menyalahkan pendapat `lawan’ masing-masing tanpa ada sebarang kesempitan.

Selain itu, para ulama turut dapat berkongsi faedah daripada buku-buku karangan sesetengah ulama yang lain dan pandangan-pandangan mereka dengan hati yang lapang. Misalnya, kitab al-Kashaf yang dikarang oleh seorang ulama muktazilah, al-Zamakhsyari turut dimanfaatkan oleh pengikut ahli sunah wal jamaah. Ini semua menjadi bukti kepada kebebasan berfikir dan kebebasan berilmu yang terdapat dalam masyarakat umat Islam.

Dua jenis pemikiran berbahaya

Oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi

Masyarakat Islam pada zaman moden ini perlu dibebaskan daripada dua bentuk pemikiran (kefahaman) yang dipindahkan kepada mereka oleh masyarakat lain dan telah merasuk ke segenap lapisan masyarakat, baik masyarakat awam mahupun cendekiawan dan ulamanya.

Dua pemikiran tersebut ialah: Pertama, pelbagai pemahaman yang mempengaruhi umat Islam sepanjang tempoh berlakunya penjajahan berupa salah faham mereka tentang Islam.

Misalnya, memahami zuhud dengan meninggalkan sama sekali kehidupan (dunia) ini sehingga dikuasai oleh orang yang kufur; memahami keimanan terhadap takdir seperti yang difahami oleh kaum Jabariyah; memahami bahawa ilmu fikah adalah mengutip pendapat orang (ulama) terdahulu.

Begitu juga memahami bahawa pintu ijtihad telah ditutup, akal berlawanan dengan wahyu; menganggap wanita sebagai sarang (perangkap) syaitan; termasuk juga pemahaman bahawa al-Quran harus digantung untuk memelihara diri daripada jin; atau bahawa keberkatan sunah terletak pada pembacaan Sahih Bukhari ketika terjadi kesedihan (musibah); dan memahami masalah wali dan karamah dengan pemahaman yang bertentangan dengan sunnatullah.

Dan masih banyak lagi pemahaman yang lainnya yang berkembang pada masa kejumudan ilmu dan pemikiran, taklid di bidang fikah, perdebatan ilmu kalam, penyimpangan dalam bidang ibadat, diktator politik dan peradaban.

Kedua, pelbagai pemahaman yang menyerang masyarakat Muslimin yang datang bersama dengan serangan penjajah. Ia masuk dari pintunya, berjalan bersama rombongannya, berlindung di belakangnya dan menjadikan mereka (penjajah) sebagai kiblat dan imamnya. Pada hal belum pernah ada perjanjian antara mereka dengan kita (umat Islam), bahkan belum pernah terlintas di benak kita.

Itulah pemikiran-pemikiran yang menyimpang, yang berkaitan dengan agama dan dunia, lelaki dan wanita, keutamaan dan isu remeh-temeh, kebebasan dan kejumudan, kemajuan dan kemunduran, halal dan haram dan sebagainya.

Pemahaman-pemahaman inilah yang mengaburkan batas-batas yang memisahkan antara kebebasan berfikir dengan kebebasan kufur, antara kebenaran dan kefasikan, antara ilmiah dan ilmaniyah (sekularisasi), antara diniah (agama) dan daulah (negara) Islamiah.

Itulah mafaahim (pelbagai pemahaman) berbentuk ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang menganggap beriman kepada perkara-perkara ghaib (seksa kubur, balasan akhirat) sebagai keterbelakang, berpegang teguh pada perilaku menurut syariat Allah adalah sikap ekstrem, amar makruf dan nahi munkar dianggap ikut campur dalam urusan orang lain, percampuran laki-laki dan perempuan tanpa batas dianggap sebagai kebebasan, kembalinya wanita Muslimah untuk mengenakan hijab syar’ie (pakaian yang menutup auratnya) dianggap sebagai kemunduran, memanfaatkan warisan (khazanah) Islam dianggap fanatik, menjadikan ulama sebagai ikutan dan panduan dianggap kuno, sementara para da’ie (mubaligh) Barat dianggap sebagai cendekiawan yang menerangi peradaban umat sejagat.

Sehubungan itu, maka menjadi kewajipan kepada para da’ie (pendakwah), para ulama dan para pemikir lslam untuk mendahulukan pemikiran-pemikiran lslam yang sahih dan tulen untuk `menggempur’ pemikiran dan pemahaman Barat yang sempat merasuk pemikiran umat Islam, sama ada yang lama mahupun yang baru.

Kedua-duanya sama saja dalam hal menggambarkan lslam dengan wajah yang tidak sesuai asal-usulnya. Semua pemikiran itu beracun, merosak dan sudah basi atau sebagaimana yang dikatakan oleh Ustaz Malik bin Nabi, sebagai pemikiran yang mati dan mematikan.

Dari satu sudut lain, jika kita melihat permasalahan ini dalam kerangka keadilan, supaya terhindar daripada sikap ekstrem (melampau), maka kita harus mengambil pemahaman yang di tengah-tengah (sederhana).

Kita menolak segala bentuk sikap berlebihan sebagaimana yang dilakukan oleh kelompok-kelompok sekular dan gerakan pembaratan.

Dalam kitab Al Islam Wal `Ilmaniyah, saya telah memaparkan lapan belas pemahaman pokok tentang lslam.

Menerusinya saya ingin membatasi gambaran lslam yang saya dakwahkan, sehingga tidak ada yang mengira bahawa saya berdakwah kepada lslam yang sulit atau tidak jelas atau khayalan sehingga boleh diguna pakai oleh sesiapa pun, sesuai mengikut apa yang mereka inginkan.

Dalam buku itu, saya kemukakan sekumpulan pemikiran lslam yang cemerlang, sederhana dan lurus yang dibuat oleh Ustaz Dr. Ahmad Kamal Abu Majd. Saya sependapat dengan pemikiran beliau secara umum, walaupun saya juga mempunyai pendapat yang berbeza dalam sesetengah huraiannya.

Kitab ini sendiri mengemukakan gambaran tentang masyarakat lslam yang kita cita-citakan dalam kerangka pemahaman `madrasah wusta’ (aliran tengah) yang menyatukan antara akal dan wahyu, antara agama dan dunia, dan mengkompromikan antara muhkamaat syar’ie (kekuatan syariat) dan muqtadhayaatul `ashri (tuntutan zaman).

Termasuk juga menyeimbangkan antara hal-hal yang tetap (tsawaabit) dan yang mengenal perubahan, menggabungkan antara salafiyah dan tajdid (yang lama dan yang baru), serta percaya terhadap keterbukaan tanpa harus `cair’ dan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kebatilan.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Jom baca hadith bersama Masyaikh

 
Copyright (c) 2010 ..:: Islam4All ::... Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.